Penduduk resah rumah dilimpahi air pasang besar
KUALA SELANGOR - Kira-kira 20 penduduk di Taman Padi Emas Tanjong Karang, di sini resah berikutan kediaman mereka kerap dinaiki air jika berlaku pertembungan fenomena air pasang besar dan hujan lebat.
Seorang penduduk, Azwan Ahmad, 36, berkata, kejadian air melimpah masuk ke dalam rumah sebelum ini tidak pernah berlaku sejak 14 tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, sejak setahun lalu, rumah didiami bersama isterinya sudah tiga kali dilanda fenomena air pasang besar.
"Ini (Selasa) kejadian kali pertama rumah dinaiki air pada tahun ini dan kejadian sama berlaku dua kali pada tahun lepas," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.
Menurut Azwan, air mula disedari melimpah dari bilik air ke dapur sebelum memasuki sebuah bilik kira-kira jam 5 petang.
Katanya, kejadian berlaku semasa dia sedang bersiap-siap mengemas barang untuk keluar berniaga makanan di Sekinchan.
"Saya terpaksa cuti berniaga selepas mendapati longkang depan dan belakang rumah sudah dipenuhi air," jelasnya.
Seorang lagi penduduk, Saidon Yusof, 60, berkata, kejadian fenomena air pasang besar dan disusuli hujan lebat menyebabkan keseluruhan rumahnya dilimpahi air.
Menurutnya, semasa kejadian dia tiada di rumah kerana sedang bekerja di Meru, Klang sebelum dihubungi isteri memaklumkan rumah dimasuki air.
"Selepas habis kerja saya terus pulang dan terkejut apabila air sudah melimpah masuk ke dalam rumah.
"Saya dapati, air najis memenuhi mangkuk tandas disebabkan aliran air tersumbat, manakala bahagian depan air longkang mula mengalir ke bahagian kaki lima," jelasnya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Zaki Herman, 36, berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan agensi berkaitan diminta menyelenggara sistem saliran di taman perumahan berkenaan.
Jelasnya, meskipun rumah sewanya itu hanya dinaiki air di bahagian tandas, namun tetap bimbang berlaku kejadian luar jangka pada masa akan datang.
"Kita bimbang jika tidak diselenggara mungkin selepas ini kejadian lebih teruk berlaku termasuk air masuk sampai ke dalam rumah," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!