93.9 juta penumpang pada 2024
SURUHANJAYA Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah menyemak semula unjuran untuk trafik penumpang 2023 kepada 84.5 juta dan 86.5 juta mengatasi unjuran awal.
Dalam Laporan Industri edisi ke-14 'Waypoint' yang dikeluarkan pada Rabu, suruhanjaya itu juga menjangkakan angka penumpang bagi 2024 melebihi 93.9 juta.
Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, sektor penerbangan Malaysia telah mengalami pertumbuhan memberangsangkan dalam trafik penumpang selepas pandemik Covid-19, mencecah 69.9 juta dalam tempoh 10 bulan pertama 2023.
Menurutnya, lonjakan tersebut telah mendorongnya untuk menyemak semula ramalan pada 2023.
Suruhanjaya itu sebelum ini mengunjurkan trafik penumpang udara meningkat antara 40 peratus dan 52 peratus tahun ke tahun pada 2023 untuk mencapai antara 74.6 juta dan 80.8 juta penumpang.
Tambah Saripuddin, pertumbuhan dalam trafik penumpang telah menyerlahkan pemulihan berterusan sektor penerbangan di Malaysia.
Sementara itu, menurutnya, Mavcom menyelaraskan ramalan kargo udara 2023 ke bawah dan kini menjangkakan penurunan sehingga 13.5 peratus bersamaan 18.8 bilion tan kargo per kilometer (FTK).
Katanya, jumlah kargo udara Malaysia mencatatkan penurunan 15.3 peratus dari tahun ke tahun (YoY), bersamaan 4.7 bilion FTK pada suku ketiga 2023 (S3 2023).
“Walaupun terdapat penurunan, anjakan positif diramal dengan pertumbuhan kargo dijangka sehingga 6.6 peratus daripada enam peratus, selain berpotensi mencecah sehingga 20 bilion FTK.
“Jangkaan ini dikaitkan dengan kesan asas yang rendah pada 2023, kemungkinan bertambah dalam kitaran teknologi global, pemulihan berterusan di China dan penstabilan ekonomi lebih meluas,” kata beliau.
Sepanjang sembilan bulan pertama, Saripuddin berkata, Mavcom memberikan sebanyak 173 Hak Trafik Udara (ATR) tambahan kepada laluan domestik dan antarabangsa, masing-masing dengan 44 ATR dan 129 ATR.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!