Banjir di Kuala Krai dijangka pulih sepenuhnya dua hari lagi
KUALA KRAI - Banjir yang melanda Kuala Krai sejak minggu lepas dijangka pulih sepenuhnya dua hari lagi, kata Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kuala Krai, Azi Rahimee Mohamed.
Beliau yang juga Ketua Jajahan Kuala Krai berkata, ia berikutan banyak pusat pemindahan sementara (PPS) telah mula ditutup dan mangsa banjir juga telah pulang ke rumah masing-masing.
"Selain itu, keadaan cuaca yang baik juga menyebabkan paras sungai di kawasan terlibat semakin surut dan beberapa laluan kampung juga yang sebelum ini ditutup kerana dinaiki air sudah dapat dilalui semula.
"Insya-ALLAH, jika cuaca baik kita jangka lagi dua hari semua PPS di jajahan ini ditutup," katanya ketika ditemui Bernama selepas meluangkan masa bertemu mangsa banjir di PPS Kolej Vokasional Kuala Krai hari ini.
Selain itu, beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai salah laku atau kegiatan jenayah di PPS melibatkan mangsa banjir.
Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Kelantan memaklumkan sebanyak 19 PPS masih beroperasi di Kuala Krai setakat jam 4 petang tadi melibatkan 1,164 orang daripada 329 keluarga. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!