MTUC desak kerajaan siasat dalang pemerdagangan pekerja asing

Kamarul Baharin berkata, pekerja asing yang tidak diberikan pekerjaan apabila tiba di Malaysia adalah tindakan membuli dan memperdagangkan pekerja.
Kamarul Baharin berkata, pekerja asing yang tidak diberikan pekerjaan apabila tiba di Malaysia adalah tindakan membuli dan memperdagangkan pekerja.
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak kerajaan menyiasat dalang di sebalik kes penipuan pekerjaan kepada warga asing yang datang ke negara ini.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, pekerja asing yang tidak diberikan pekerjaan apabila tiba di Malaysia adalah tindakan membuli dan memperdagangkan pekerja.

Menurutnya, sekiranya isu tersebut tidak diuruskan dengan baik, Malaysia berdepan kemungkinan berada pada tahap ketiga dalam laporan pemerdagangan orang pada tahun hadapan.

"MTUC mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sehingga akar umbi berkenaan rangkaian pengambilan pekerja asing bermula daripada syarikat yang menguruskan pekerja asing, pegawai kerajaan yang meluluskan dan syarikat yang menerima pekerja asing.

"Sehingga sekarang masalah pekerja asing tidak diselesaikan secara tuntas.

"Rampasan aset sehingga pemenjaraan perlu dilakukan untuk memberi pengajaran dan ingatan bahawa perlakuan buruh paksa boleh merosakkan reputasi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Isnin media melaporkan seramai 171 lelaki warga Bangladesh ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ketika sedang berjalan kaki di Pengerang, Kota Tinggi, Johor.

Kesemua mereka dalam perjalanan ke balai polis untuk membuat laporan kerana ejen tidak memberikan kerja sejak tiga hingga enam bulan tiba di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Kamarul Baharin berkata, kebenaran kemasukan pekerja asing yang dipermudahkan kerajaan, akan memberi implikasi terhadap pelanggaran undang-undang buruh.

Katanya, syarikat mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dalam industri pembekalan tenaga kerja asing yang dianggap seperti lubuk emas.

“Industri ini dilingkari dengan pelbagai persepsi negatif termasuk rasuah, sogokan, salah guna kuasa, gengster dan kartel.

"Mimpi buruk buruh paksa akan berterusan jika tiada tindakan tegas diambil ke atas majikan yang melanggar hak pekerja.

"Perlindungan dan kebajikan perlu diutamakan kepada pekerja asing bagi mengelakkan negara terjejas daripada segi imej dan ekonomi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!