Serangan siber Malaysia meningkat, bermotifkan wang, politik - FBI
SHAH ALAM - Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat, Christopher Wray mendakwa terdapat peningkatan mendadak dalam jumlah dan kekerapan serangan siber di Malaysia.
Memetik laporan New Straits Times (NST), Wray berkata, serangan itu bukan hanya dilakukan penjenayah siber bermotifkan keuntungan tetapi penyangak yang cuba mendapatkan kelebihan ekonomi dan strategik tanpa mengambil kira jumlah kerosakan akibat tindakan mereka.
Berikutan itu, Wray baru-baru ini melawat Malaysia untuk mengukuhkan kerjasama keselamatan siber dan memperdalam perkongsian antara biro berkenaan dengan agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan.
Beliau memutuskan untuk membuat lawatan tersebut kerana FBI menganggap Malaysia sebagai salah satu rakan penguatkuasa undang-undang dan keselamatan yang penting.
“Matlamat ini untuk memperkukuh kerjasama dan bersama-sama menentang bahaya yang menjejaskan kedua-dua negara seperti jenayah siber, memerangi keganasan, perisikan balas, pemangsa kanak-kanak dan sebagainya.
“Saya bersemangat membuat lawatan ini kerana saya adalah pengarah FBI pertama yang melawat Malaysia sejak 2002,” katanya dalam temu bual eksklusif di Kedutaan Amerika Syarikat.
Wray mendakwa, penggodam dari China tersenarai sebagai kumpulan yang paling banyak melakukan penggodaman pada skala besar.
“Mereka mempunyai program penggodaman yang lebih besar daripada gabungan negara utama lain.
“Malah China juga menyebabkan kerosakan tanpa mengira impak untuk dapatkan apa yang mereka inginkan, kadang-kadang menyerang ribuan mangsa dalam satu kempen siber,” ujarnya.
Bagaimanapun memetik Kerajaan China sebagai berkata, dakwaan tersebut tidak berasas dan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.
"China telah mengambil tindakan yang tegas dan konkrit untuk menjaga keselamatan sibernya. Kami telah menentang serta membanteras semua bentuk kecurian siber selama ini.
"China bersedia bekerjasama dengan semua negara untuk mengukuhkan kerjasama antarabangsa mengenai keselamatan siber dan bidang berkaitan, bagi membina ruang siber yang lebih inklusif, makmur, aman, selamat, sama rata dan inklusif," kata Kedutaan Besar China dalam laporan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!