Benteng PLSB pecah, Tumpat dilanda bah
TUMPAT - Benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kampung Tersang, Rantau Panjang yang pecah menyaksikan kawasan ini mula ditenggelami banjir pada Rabu.
Tinjuan Sinar Harian mendapati lebih 10 buah kampung di sini mula ditenggelami air sekali gus menyaksikan Sekolah Kebangsaan (SK) Bunohan dan SK Pengkalan Kubor 2 diaktifkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).
Antara kampung yang terlibat ialah Kajang Sebidang, Palas Merah, Simpangan, Jejulok, Bendang Pak Yong, Kuala Jambu, Kubu Telaga Bata.
Seorang penduduk, Sara Ab Rahim, 46, berkata, banjir gelombang ketiga yang melanda kali ini disifatkan cukup besar berbanding satu dan dua sebelum ini.
"Gelombang satu dan dua air hanya berada di pekarangan rumah.
"Namun kali ini, di atas rumah kedalaman air mencecah sehingga 0.6 meter," katanya yang merupakan penduduk di Kampung Palas Merah.
Menurutnya, peningkatan paras air begitu cepat membuatkannya mengambil keputusan untuk terus berpindah.
Seorang lagi penduduk, Noraini Ab Ghani, 30, dari Kampung Telaga Bata, berkata, dia membuat keputusan untuk berpindah selepas melihat paras air semakin naik.
"Langkah awal penting, bagi mengelakkan saya dan keluarga terkandas untuk ke PPS.
"Untuk itu, saya bersama suami dan tiga anak berpindah ke SK Bunohan untuk berlindung," katanya.
Sementara itu, seorang penduduk dari Kampung Kubu Telaga Bata Fatimah Yusof, 58, berkata, walaupun air sudah melimpah masuk ke kedai runcit miliknya, namun dia masih meneruskan operasi.
"Tujuan saya untuk membolehkan penduduk yang terkesan dengan banjir mendapatkan barangan keperluan dengan mudah.
"Bagaimanapun semua barangan jualan dan kelengkapan lain sudah dipindahkan ke tempat tinggi bagi memastikan ia selamat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!