Bah besar ancam selatan Thailand
BANJIR besar yang melanda selatan Thailand telah meragut sekurang-kurangnya enam nyawa dan menjelaskan puluhan ribu penduduk di wilayah tersebut.
Banjir yang bermula pada 22 Disember lalu telah menjejaskan 70,000 kediaman di seluruh wilayah Satun, Songkla, Pattani, Yala dan Narathiwat.
Timbalan Gabenor Wilayah, Preecha Nualnoi berkata, enam orang termasuk seorang wanita berusia 89 tahun dan seorang kanak-kanak telah terkorban di Narathiwat.
Menurutnya, seorang lagi masih hilang selepas hujan beberapa hari sehingga mencetuskan banjir dengan air mencecah sehingga tiga meter di beberapa tempat.
Rakaman media tempatan menunjukkan jalan raya ditenggelami banjir, manakala penduduk terpaksa berlindung di atas bumbung rumah mereka.
Ketika ini pasukan keselamatan bertugas sehingga waktu malam dan menyerahkan bantuan seperti air serta makanan ringan, selain memeriksa kerosakan bangunan dan kemalangan jiwa.
Sementara itu, menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand, paras air didapati semakin surut pada Rabu.
Preeca berkata, beberapa perkhidmatan kereta api di wilayah Narathiwat yang bersempadan dengan Malaysia telah disambung semula berikutan ditutup beberapa hari akibat tanah runtuh.
Lazimnya, musim hujan lebat yang melanda Thailand akan menyebabkan banjir, namun saintis berkata, perubahan iklim akibat tangan manusia telah menyebabkan hujan semakin lebat.
Pada 2011, banjir besar melanda Thailand sehingga menyebabkan ratusan orang awam terbunuh dan jutaan rumah rosak teruk. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!