Kemalangan tular di Lebuhraya Karak, saksi diminta tampil bantu siasatan
GOMBAK - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan berhubung video tular kemalangan sebuah motosikal berkuasa besar dan sebuah kereta di Kilometer 22, Lebuhraya Karak pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, berlaku satu kemalangan melibatkan dua kenderaan tersebut di lokasi berkenaan menghala ke Kuala Lumpur jam 12.20 tengah malam.
Beliau berkata, kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tular itu melibatkan sebuah motosikal berkuasa besar jenis BMW S1000RR dan kereta jenis Honda City.
"Hasil siasatan awal mendapati penunggang motosikal berkuasa besar itu adalah seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun yang menunggang dari arah Gohtong Jaya menghala ke Kuala Lumpur.
"Ketika mana tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun telah mengubah laluan dari lorong kanan ke lorong tengah secara tiba-tiba.
"Penunggang motosikal dipercayai tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang sebelah kiri kereta tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Noor Ariffin berkata, akibat kemalangan tersebut, kedua-duanya telah berhenti di tepi jalan dan berlaku pertengkaran.
Namun begitu kata beliau, penunggang motosikal dan pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kemalangan.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut kaedah 6(1) LN 166/59.
Tambahnya, orang ramai yang melihat dan mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.
Jelasnya, orang ramai boleh berhubung dengan penolong pegawai penyiasat trafik, Sarjan Sazila Yusuf di talian 013-3083696 atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak 03-61262222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!