Reruai Sinar Harian bakal 'hantui' pengunjung
SHAH ALAM - Festival Seram Buku Prima yang bakal berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini pada 5 hingga 7 Januari tahun depan akan menampilkan kelainan dan kejutan buat para pengunjung.
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, pihaknya juga akan memeriahkan festival berkenaan dengan membawakan sesuatu yang segar buat para pengunjung.
Menurutnya, seiring dengan tema seram dan thriller yang dibawakan, reruai Sinar Harian kali ini juga tampil berbeza daripada kebiasaan.
“Reruai kami kali ini diberi nama Zon Keras. Kenapa Zon Keras. Selain tema seram, kami juga mahu mengetengahkan isu-isu misteri, psiko dan thriller yang berlegar dalam kalangan masyarakat kita dan pernah dibuat liputan oleh wartawan kami,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Tambahnya, antara yang paling menarik di Zon Keras ialah bilik pengakuan dan soal siasat yang biasa dilakukan oleh polis.
“Tidak ketinggalan aktiviti lain seperti membaca berita seram, sesi bersama team dokumentari Sinar Harian dan baca berita seram,” kata beliau.
Jelasnya lagi, paling menarik tentulah perkongsian eksklusif yang dibawakan Sinar Harian bersama tokoh, ustaz, pempengaruh dan wartawan akhbar ini sendiri mengenai kes-kes jenayah serta misteri menarik yang pernah berlaku di Malaysia.
“Bagi menimbul elemen seram dan pengalaman misteri di Zon Keras, ia akan dihias dengan konsep istimewa yang perlu dirasai oleh pengunjung festival nanti,” katanya.
Terdahulu, pengarah Festival Seram, Anis Syamila Abdul Halim berkata, program seperti itu pertama kali dianjurkan dalam negara dan pelbagai aktiviti serta hadiah menarik disediakan kepada pengunjung.
Katanya, antara yang bakal diadakan ialah Konvensyen Penulisan Seram dan Thriller Buku Prima di mana penulis novel genre tersebut akan mendapat perkongsian bermanfaat daripada panel yang berpengalaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!