Perihal siang ikan dan harga bawang naik

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

DI media sosial, masih hangat diperkatakan mengenai pengacara sebuah program televisyen tempatan tidak pandai menyiang ikan ketika bersiaran secara langsung.

Ada segelintir netizen memerli dan membuat perbandingan dengan anaknya yang baru berusia 10 tahun tetapi sudah tahu cara menyiang ikan.

Tak kurang juga yang berkata, wanita zaman sekarang jarang turun ke dapur, hanya tahu pesan makanan di restoran.

Bila isu jadi perdebatan, ramai netizen tampil mempertahankan pengacara tersebut termasuk ibu-ibu yang mempunyai anak perempuan dan menantu perempuan.

Katanya biarlah tak pandai siang ikan asalkan ada keinginan untuk belajar.

Lagipun sekarang ini kalau beli ikan di kedai, pelanggan boleh minta untuk siang ikan siap-siap.

Apa pun, semua orang mempunyai pandangan peribadi masing-masing, dalam masa sama tidak seharusnya isu pengacara tidak pandai menyiang ikan terus diperbesarkan.

Bak kata orang, buat apa nak hebohkan kelemahan orang jika diri kita sendiri pun tidaklah sempurna dan masih banyak kelemahan.

Bercerita pasal ikan, penulis lebih tertumpu pada isu harga ikan yang mahal dan kenaikan harga barangan keperluan.

Artikel Berkaitan:

Walaupun dikatakan tiada kenaikan mendadak, tetapi harga ikan kembung dan ikan selar sekarang sudah mencecah RM20 sekilogram.

Belum lagi harga sotong, ketam, udang dan ikan gred A seperti kerapu, merah dan jenahak.

Dua tiga hari kebelakangan ini, meriah di media sosial apabila netizen ‘membawang’ harga bawang naik mendadak.

“Bawang merah di sini RM6.50 sekilo. Tempat kalian berapa ringgit sekilo ya? Parah juga harga naik agak tinggi dari sebelumnya.

“Bawang memang naik harga ya? Awal bulan hari itu beli bawang RM19.50 seguni. Hari ini RM29.90 seguni sama. Naik dia tidak sikit-sikit, terus ke atas,” antara luahan netizen di Facebook.

Media melaporkan, harga bawang besar dan bawang merah dari India serta Pakistan naik antara 60 dan 65 peratus di Terengganu sejak awal bulan ini.

Tinjauan di beberapa pasar raya di negeri itu mendapati bawang besar India dan Pakistan dijual pada harga RM7.40 sekilogram, meningkat 60 peratus berbanding RM4.50 bulan lalu.

Bawang merah India dan Pakistan pula dijual pada harga RM6.95 sekilogram, naik 65 peratus berbanding RM3.80 sekilogram.

Harga bawang besar dan bawang merah dari India serta Pakistan di Perlis juga dijangka berlaku peningkatan selepas perayaan Krismas.

Tinjauan Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis mendapati, berlaku kenaikan harga sehingga 15 peratus terhadap harga bawang yang dijual antara RM5 dan RM6 di beberapa pasar di negeri itu.

Keadaan ini berlaku apabila Direktorat Perdagangan Luar Negeri India yang menyatakan kerajaan India memutuskan untuk memindahkan eksport bawang daripada kategori bebas kepada larangan hingga 31 Mac tahun depan, bagi meningkatkan bekalan domestik.

Kenaikan harga makanan berkenaan boleh menjadi isu yang mencetuskan pergolakan politik terutama menjelang pilihan raya Parlimen di negara itu tahun depan.

India merupakan pengeksport terbesar bawang ke negara ini iaitu 36 peratus, manakala China dan Thailand masing masing sebanyak 20 dan tujuh peratus.

Pada September lalu, Institut Penyelidikan Dasar Makanan Antarabangsa (IFPRI) sudah memberi amaran bahawa peningkatan harga komoditi utama seperti beras, gula dan bawang di India akan menyebabkan inflasi eksport makanan dunia.

Sepanjang dekad lalu, India muncul pengeksport beras terbesar dunia dan menguasai 40 peratus pasaran, manakala negara itu juga merupakan pengeksport kedua terbesar gula dan bawang.

Jadi masalah keselamatan makanan ini memang isu besar kepada kita semua.

Sehubungan itu kita mengharapkan kebijaksaan kerajaan untuk memastikan rakyat teruk nikmati bekalan makanan pada harga murah.

* Nurkhairini Jumari ialah Editor Pengisian Web Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!