Hidupkan kembali tradisi rewang di bandar besar

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SEMASA zaman kanak-kanak dahulu, Merak Jalanan suka menemani ibu menyediakan bahan-bahan masakan untuk majlis kenduri kahwin di kampung.

Seronok apabila kaum wanita beramai-ramai memotong daging atau bawang di dapur. Kaum lelaki pula sibuk memasang khemah.

Bagi yang pandai memasak, sudah tentu diberi tugas mengacau gulai dalam kawah.

Bagi kanak-kanak macam Merak Jalanan, sudah pasti seronok dapat bermain dengan kawan-kawan sebaya.

Itulah pengalaman hidup berharga terlibat dalam aktiviti rewang. Hubungan menjadi akrab dan kenduri tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar.

Namun, seiring peredaran zaman, tradisi rewang tidak lagi serancak dahulu atau mungkin tidak ada lagi, lebih-lebih lagi di bandar-bandar besar.

Mungkin faktor kekangan masa, kesibukan, selain sanak saudara tinggal berjauhan menjadi punca aktiviti rewang sukar untuk dihidupkan semula.

Sebaliknya, generasi muda pada hari ini lebih suka memilih untuk menempah perkhidmatan katering yang menawarkan pakej serba lengkap pada majlis raja sehari mereka.

Artikel Berkaitan:

Namun, baru-baru ini, Merak Jalanan sedih apabila satu keluarga pengantin menjadi mangsa pihak katering yang ‘ghaib’ pada hari ditetapkan walaupun sudah menjelaskan bayaran RM13,000.

Jenuh juga keluarga pengantin terpaksa bertungkus-lumus menyediakan sendiri hidangan.

Disebabkan masa suntuk, mereka hanya mampu menyediakan hidangan ala kadar buat tetamu.

Kes seperti ini bukan baharu. Pada tahun 2016, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pernah mendedahkan mengenai penipuan pakej katering membabitkan kerugian RM1 juta.

Justeru, bagi mengelak insiden sama berulang, Merak Jalanan cadangkan supaya tradisi rewang disemarakkan semula dalam kalangan masyarakat bandar.

Selain mengelakkan risiko ditipu, ia dapat mengembalikan semula budaya tersebut agar tidak luput ditelan zaman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!