Kebergantungan AI buat manusia hilang daya fikir
SHAH ALAM - Kebergantungan kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) boleh menyebabkan manusia hilang daya fikir dalam membuat keputusan dan penilaian terhadap sesuatu perkara.
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosiobudaya (Saudara), Lim Hong Siang berkata, tanpa disedari, manusia menyerahkan keupayaan dalam membuat pilihan kepada teknologi tersebut.
"Sebagai contoh, bila kita dah terbiasa menggunakan aplikasi peta untuk mencari arah semasa memandu, kita tak akan percaya dengan naluri sendiri walaupun kita dah tahu jalan tersebut.
"Mungkin sebab pengalaman sebelum ini kita pernah tersesat akibat tak percaya dengan aplikasi ini.
"Ini menunjukkan diri kita bergantung harap kepada teknologi tersebut disebabkan pengalaman lepas sehingga membuatkan naluri sudah hilang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Siri 425 bertajuk 'AI: Ancaman atau Peluang?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan, Timbalan Pengarah (Penyelidikan) Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr Rachel Gong dan Profesor Kuliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Mohamad Fauzan Noordin.
Tambah Hong Siang, teknologi AI juga dipercayai mampu menghasilkan karya sastera pada masa depan.
"AI boleh dilatih untuk meniru gaya penulisan tertentu dengan hanya kita masukkan input atau kata kunci secukupnya, maka teknologi ini sudah mampu menulis satu artikel pendek.
"Tetapi AI mungkin tidak mampu menghasilkan karya agung seperti novel yang memaparkan keadaan suasana hidup masyarakat kerana penggunaan bahasa menggambarkan emosi semasa menulis.
"Mungkin sekarang tak mampu lagi tapi masa depan kita tidak tahu kerana kemajuan dan kecanggihan AI memang di luar jangkaan manusia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!