Pemandu maut nahas dua lori
KLUANG - Seorang pemandu lori maut manakala penumpang serta seorang lagi pemandu lori cedera dalam kemalangan melibatkan dua lori di Kilometer (KM) 65, Jalan Yong Peng-Kluang, pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Noh, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan yang melibatkan dua lori jenis Isuzu pada jam 2.31 petang Rabu.
“Hasil siasatan awal mendapati sebuah lori jenis Isuzu dipandu dari arah Yong Peng ke Kluang, sementara sebuah lagi lori jenis sama, dipandu dari arah Kluang.
“Apabila tiba di laluan berkenaan, lori dari arah Kluang telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori yang menuju ke Kluang.
“Ini menyebabkan lori yang menuju ke Kluang telah melanggar bahagian tepi sebelah kiri lori tersebut menyebabkannya terbalik di sebelah kanan jalan bertentangan sementara lori yang sama terbabas lalu melanggar pokok di tepi jalan,” katanya.
Keadaan itu menyebabkan pemandu lori berkenaan tersepit dan meninggal dunia di lokasi akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, badan dan kaki.
Penumpang dan seorang lagi pemandu lori yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk rawatan lanjut akibat kecederaan di bahagian muka dan kaki.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!