Identiti penunggang motosikal rentung masih belum dikenal pasti
JITRA - Polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat bagi mengenal pasti identiti penunggang motosikal yang rentung selepas motosikal ditungganginya terbakar dalam kemalangan dengan sebuah treler di hadapan sebuah stesen minyak di Changlun pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala dan badan serta terbakar pada bahagian kaki kiri serta kanan.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat.
"Pengecaman identiti mangsa akan dilakukan berdasarkan padanan rekod gigi atau cap jari selain sampel darah oleh pihak forensik," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler dipandu seorang lelaki dari arah Bukit Kayu Hitam ke Jitra.
"Sebaik tiba di hadapan sebuah stesen minyak di Changlun, treler itu bergerak terus di lorong kiri jalan.
"Namun secara tiba-tiba, motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang mangsa keluar dari simpang stesen minyak terbabit dan membelok ke kiri dengan menyelit di sebelah kiri treler menyebabkan berlaku perlanggaran antara treler dan motosikal terbabit," katanya.
Rodzi berkata, mangsa dipercayai terjatuh sebelum motosikalnya terbakar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler berusia 39 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang penunggang motosikal rentung selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan sebuah stesen minyak di Changlun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!