Sumbangan rakyat Malaysia ceriakan penghuni kem pelarian Yemen
Menurut Amar, 46, sekiranya hujan lebat mereka akan mengalih atau menutup barang penting dalam khemah dan kadang-kadang bertempiaran keluar untuk berteduh.
"Semasa hujan lebat, kami akan meminta izin jiran yang ada khemah lebih baik atau kedai-kedai untuk berlindung sekejap di luar atau dalam premis mereka sehingga hujan reda.
"Semasa musim sejuk pula kami terpaksa tinggal dalam kesejukan melampau. Kami tiada alat pemanas disebabkan tiada bekalan eletrik dan semasa musim panas pula tidak selesa kerana bahang dan panas yang keterlaluan.
"Dua keluarga tinggal dalam khemah ini iaitu keluarga saya dan keluarga arwah abang saya yang mati syahid dalam peperangan," katanya kepada pemberita semasa menerima sumbangan khemah daripada rakyat Malaysia yang diurus Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) dan Pasar Raya Econsave Sdn Bhd di kem pelarian itu pada Khamis.
Turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr Mohd Zin Kandar; Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam dan Pengurus MyCARE Johor Rozi Abdul Ghani.
Amar yang tidak bekerja dan sudah empat tahun berlindung di kem pelarian berkenaan berkata, bagaimanapun masalah tersebut selesai apabila sudah mendapat khemah sumbangan rakyat Malaysia itu.
Dia berharap akan mendapat bantuan selimut dan pakaian musim sejuk pula untuk keluarganya pada masa akan datang kerana tidak mampu membelinya.
Sementara itu, Dr Mohd Zin yang juga Penasihat MyCARE Johor berkata, pihaknya menyumbang 32 khemah, 155 selimut dan pakaian sejuk untuk mangsa perang di Kem Pelarian Stanbul dan Kem Pelarian Al-Sahn hasil kutipan dana dan wakaf rakyat Malaysia.
"Khemah-khemah mereka sebelum ini rosak dan hampir runtuh. Kediaman adalah perkara asas yang sangat penting kepada manusia dan mereka yang berada di kem pelarian tidak bekerja dan tiada sumber pendapatan.
"Mereka sangat memerlukan bantuan. Kita menyasarkan setiap bulan setiap bulan Insya-ALLAH akan menyalurkan dana bagi menyediakan khemah dan keperluan asas," katanya.
Mas Imran pula berkata, mangsa perang dalam banyak kem pelarian di sini amat memerlukan khemah baharu kerana yang lama sudah reput dan rosak.
Dalam pada itu, MyCARE dan Econsave turut menyumbangkan wang tunai kepada lima balu mangsa perang di Kem Pelarian Al-Swida di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!