Banjir: Masjid, surau diminta adakan solat hajat

Masjid dan surau di seluruh negara dimohon mengadakan solat hajat mendoakan keselamatan dan kesejahteraan negara serta seluruh mangsa banjir. - Foto Bernama
Masjid dan surau di seluruh negara dimohon mengadakan solat hajat mendoakan keselamatan dan kesejahteraan negara serta seluruh mangsa banjir. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Semua masjid dan surau seluruh negara disaran mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Malaysia dan seluruh mangsa banjir yang terjejas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, beliau juga telah mengarahkan agensi-agensi dan seluruh jentera jabatan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu mangsa banjir.

Menurutnya, tempoh lawatan kerja ke Acheh Indonesia juga telah disingkatkan bagi meninjau sendiri situasi banjir yang melanda negara.

"Hari ini saya akan tiba di Kuala Lumpur setelah selesai urusan lawatan ke Dayah Madani, Acheh, Indonesia bagi memperkukuh kerjasama antara dua negara terutama melibatkan umat Islam dua negara serumpun.

"Lawatan ini telah saya singkatkan, berikutan kejadian banjir yang menimpa rakyat Malaysia.

"Saya juga akan bersama agensi-agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk meninjau dan membantu saudara-saudara kita yang terkesan di negeri-negeri terjejas," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan seluruh agensi yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir.

"Semoga seluruh mangsa diberikan ketabahan dengan dugaan yang dihadapi ketika ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jumlah mangsa banjir di lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Johor terus mencatatkan peningkatan.

Setakat pagi Khamis, Pusat Kawalan Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), memaklumkan Kelantan kekal dengan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 21,380 orang yang ditempatkan di 68 pusat pemindahan sementara (PPS).


Jawi anjur solat hajat doa keselamatan mangsa banjir

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyarankan semua masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan anjur solat hajat mendoakan kesejahteraan rakyat di kawasan terlibat musibah banjir.

Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, solat hajat itu akan diadakan selepas solat Maghrib pada 28 Disember 2023 (Khamis) dan selepas solat Jumaat pada 29 Disember 2023.

Menurutnya, masjid dan surau Jumaat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan juga akan digerakkan bagi mengadakan Kutipan Khas Jumaat bagi tujuan saluran bantuan untuk disampaikan kepada golongan terkesan.

"Solat hajat diadakan bagi memohon perlindungan ALLAH SWT dan kesejahteraan untuk rakyat Malaysia dalam mendepani musibah yang melanda.

"Kami mendoakan agar dikurniakan keselamatan dan kemudahan kepada semua pasukan penyelamat serta ketabahan buat semua saudara kami yang diuji dengan musibah (banjir)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!