Pelajar Indonesia serbu pusat penempatan Rohingya
BANDA ACEH - Sekumpulan besar pelajar Indonesia menyerbu pusat penempatan yang diduduki ratusan pelarian Rohingya dari Myanmar di Banda Aceh.
Matlamat serbuan tersebut antara lain menuntut pelarian Rohingya di bandar itu dihantar pulang ke negara asal, susulan peningkatan ketegangan antara masyarakat setempat dengan kumpulan pelarian tersebut yang memasuki Indonesia dalam jumlah yang ramai.
Bagaimanapun, jurucakap polis di Banda Aceh tidak memberi sebarang kenyataan berhubung isu berkenaan. Rakaman oleh Reuters menunjukkan kumpulan pelajar tersebut berlari ke ruang bawah bangunan yang menempatkan kumpulan pelarian itu, sehingga menyebabkan mereka ketakutan.
Pelarian Rohingya kemudiannya dibawa keluar oleh pihak berkuasa ke tempat perlindungan alternatif ketika ketegangan semakin memuncak.
Sejak kebelakangan ini, kedatangan kumpulan minoriti ini ditolak di Indonesia apabila penduduk tempatan semakin kecewa dengan peningkatan ketibaan jumlah bot haram.
Sebelum ini, Presiden Indonesia Joko Widodo menyalahkan lonjakan ketibaan baru-baru ini atas pemerdagangan manusia dan telah berjanji untuk bekerjasama dengan organisasi antarabangsa untuk menawarkan tempat tinggal sementara.
Ketibaan pelarian Rohingya meningkat antara November dan April, apabila keadaan laut tidak bergelora, menyebabkan kumpulan pelarian ini menaiki bot ke negara jiran seperti Thailand, Indonesia serta Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!