Semua kementerian diarah beri bantuan banjir tanpa kira politik - Ahmad Zahid
SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan semua kementerian memberikan bantuan kepada mangsa banjir kerana kebajikan rakyat menjadi keutamaan tanpa mengira fahaman politik.
Memetik laporan The Star, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan itu berkata, dana diperuntukkan kepada semua negeri yang dijangka mengalami bencana banjir dan pusat pemindahan banjir ditubuhkan untuk menampung lebih dua juta mangsa pada musim tengkujuh.
“Saya telah pastikan persiapan awal dan meminta semua agensi untuk dilengkapi sebaiknya serta memberikan bantuan kepada mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas.
“Kerajaan Persekutuan juga telah memperuntukkan dana bagi pengurusan bencana kepada semua negeri, tanpa mengira fahaman politik mereka,” katanya pada Khamis.
Sementara itu, menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, bekalan penting disediakan di semua pusat pemindahan sementara (PPS) dan maklumat diselaraskan dari peringkat daerah ke persekutuan supaya menerima maklum balas yang cepat.
Ujar beliau, Putrajaya telah memperuntukkan RM323.63 juta kepada Jawatankuasa Bencana Negara untuk kegunaan di 160 daerah.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat bersedia untuk aktifkan sebanyak 8,481 pusat bantuan ini di seluruh negara dengan kapasiti yang mampu menampung sehingga 2,158,743 mangsa.
“Ia juga telah menerima peruntukan sebanyak RM35.85 juta untuk pengurusan bencana.
"Keseluruhannya, seramai 61,839 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi kerajaan setiap peringkat berada dalam keadaan berjaga-jaga," tambahnya.
Selain itu, Ahmad Zahid juga berkata, Kerajaan Persekutuan bekerjasama dengan kerajaan negeri serta pentadbiran daerah kerana ia merupakan satu usaha kolektif.
Beliau menekankan bahawa politik perlu ditinggalkan apabila nyawa sedang dipertaruhkan.
“Kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan. Kerajaan Perpaduan tidak akan mengetepikan negeri yang ditadbir oleh pembangkang dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan semasa bencana.
"Walaupun kerajaan negeri tidak sejajar dengan Putrajaya, kami masih akan memberikan bantuan, tanpa mengira parti politik. Ini termasuk Kelantan dan Terengganu," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!