Kelantan beri lesen perniagaan percuma kepada peniaga patuh had operasi
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan memberikan lesen percuma kepada mana-mana peniaga yang patuh pada arahan operasi perniagaan sehingga 12 malam.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Hussin berkata, walaupun tidak ada sebarang penguatkuasaan ketat melibatkan had operasi perniagaan sehingga 12 malam namun kerajaan Kelantan berharap peniaga menggunakan ruang yang ada untuk mempraktikkannya tahun ini.
"Kita bersedia berikan mereka (peniaga) lesen perniagaan percuma setahun jika mereka bersetuju untuk mengikut syarat pemberhentian operasi jam 12 malam.
"Untuk tahun ini, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob sendiri mahu kerajaan dalam langkah memberi pendidikan, mengesyorkan dan memberi galakan.
"Kita tidak mahu ia berlaku dalam keadaan memaksa dan drastik. Oleh sebab itu, untuk tahun ini, kita dalam proses menggalakkan mereka untuk patuh pada arahan ini bukan memaksa," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Menurutnya, syarat operasi tersebut bukanlah satu perkara baru namun sebelum ini pelaksanaannya tidak ketat.
Beliau berkata, mana-mana peniaga yang merasakan mereka perlu untuk berniaga lebih daripada 12 malam bolehlah membuat permohonan dengan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing.
"Tidak kira perniagaan apa, sama ada restoran makanan segera 24 jam atau sebagainya, mereka perlu buat permohonan semula dengan PBT kawasan masing-masing. Selepas itu kita akan buat pemantauan untuk melihat sejauh mana keperluan mengikut permohonan yang dibuat," katanya.
Ketika ditanya adakah operasi perniagaan sehingga jam 12 malam ini akan memberi kesan kepada industri pelancongan terutamanya Tahun Melawat Kelantan (TMK), Izani berkata, perkara tersebut bukanlah isu memandangkan kebanyakan pelancong seluruh dunia biasanya sudah bersedia dengan tempat yang akan mereka kunjungi.
"Dalam hal ini, kita perlu lebih terbuka. Dan seluruh dunia pun ada undang-undang sendiri, bukan di Malaysia sahaja. Contohnya saya ke Jepun, ada perniagaan yang ditutup seawal jam 6 petang. Maka kita sebagai pelancong perlu menghormati cara dan undang-undang mereka begitu.
"Saya yakin kita boleh melaksanakannya dan saya harap peniaga akan guna sebaik mungkin ruang yang diberikan tahun ini untuk menyesuaikan dengan undang-undang tersebut. Bukan untuk kebaikan orang lain, tapi untuk mereka juga. Masa bersama keluarga dan rehat selepas seharian berniaga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!