Penyeragaman kadar tol mampu bawa pertumbuhan ekonomi di Pulau Pinang

Guan Eng (tengah) menunjukkan tanda bagus ketika meninjau Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pagi tadi.
Guan Eng (tengah) menunjukkan tanda bagus ketika meninjau Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pagi tadi.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Penyeragaman kadar tol Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang berkuat kuasa hari ini mampu membawa pertumbuhan ekonomi di negeri ini selain dapat mengurangkan kesesakan trafik di Jambatan Pulau Pinang.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, langkah kerajaan merasionalisasikan kadar tol Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah juga dapat mengurangkan kos pengguna terutama mereka yang bekerja di kawasan Bayan Lepas dan Batu Kawan.

Menurutnya, pengurangan kadar tol daripada RM8.50 kepada RM7 untuk pengguna kelas satu dapat menggalakkan orang ramai menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang sebelum ini cenderung menggunakan Jambatan Pulau Pinang.

"Kita juga dapat seimbangkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang.

"Banyak manfaat sampingan dan akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi di rantau ini," katanya selepas membuat tinjauan di JSAHMS di sini pagi tadi.

Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Pada pembentangan Belanjawan 2020 sebelum ini, Guan Eng mengumumkan kadar tol untuk kategori kereta persendirian di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah akan dikurangkan daripada RM8.50 kepada RM7 bermula 1 Januari 2020 bagi menyeragamkan kadar tol di antara Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Artikel Berkaitan:

Guan Eng berkata, pada tahun lalu hampir 10 juta pengguna menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan dengan penyeragaman kadar tol yang dilakukan bermula hari ini dijangkakan akan berlaku pertambahan kenderaan di jambatan ini.

"Ada lagi berita baik kepada pengguna jalan raya dan berharap semua bersabar menunggu pengumuman," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!