Mangsa banjir seluruh negara lebih 27,000, Kelantan tertinggi

Banjir di Kelantan paling teruk pada MTL kali ini.
Banjir di Kelantan paling teruk pada MTL kali ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Jumlah mangsa banjir di lima negeri mencatatkan angka melebihi 27,000 orang di seluruh negara tahun ini sejak Monsun Timur Laut (MTL) melanda negara bermula 11 November lalu hingga Khamis.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, negeri-negeri terlibat ialah Kelantan, Terengganu, Johor, Sabah dan Pahang dengan mangsa terjejas ditempatkan di 114 pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, Kelantan mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi melibatkan tujuh jajahan terjejas banjir iaitu Pasir Mas, Tanah Merah, Kota Bharu, Gua Musang, Machang, Kuala Krai dan Jeli.

“Di Kelantan ketika ini sebanyak 56 PPS masih aktif bagi menempatkan mangsa banjir paling ramai iaitu 20,499 individu berbanding semalam 21,380 di 68 PPS.

“Negeri kedua ialah Terengganu iaitu 8,397 mangsa dipindahkan ke 126 PPS di daerah Besut, Dungun, Kuala Terengganu, Kemaman, Hulu Terengganu, Marang dan Setiu pada semalam, manakala hari ini berkurangan kepada 4,518 mangsa di 47 PPS,” katanya pada sidang akhbar sempena Lawatan Kerja ke Ibu Pejabat (JBPM) Kelantan di Tunjong di sini pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah JBPM (Operasi), Datuk Nor Hisham Mohamad dan Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin.

Aiman Athirah
Aiman Athirah

Menurut Aiman Athirah, Pahang turut mencatatkan empat daerah terjejas banjir iaitu Raub, Lipis, Jerantut dan Kuantan melibatkan hanya seramai 864 mangsa dan 19 PPS dibuka.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, Johor juga dilanda banjir dengan 124 mangsa dipindahkan ke tiga PPS melibatkan daerah Segamat dan Mersing manakala dua mangsa banjir di Beluran, Sabah.

“Trend banjir di Kelantan dan Terengganu setakat ini menunjukkan penurunan.

“Dalam pada itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada pada semalam sehingga hari ini di Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin) dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kota Tinggi, Kulai dan Johor Bahru),” katanya.

Mangsa-mangsa banjir yang berpindah ke PPS kerana rumah dinaiki air.
Mangsa-mangsa banjir yang berpindah ke PPS kerana rumah dinaiki air.

Tambah beliau, dalam menghadapi MTL, JBPM bertindak proaktif dengan mengaktifkan Regional Forward Base (RFB) Zon Timur di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur yang berfungsi sebagai pusat atur, gerak kelengkapan logistik, aset penyelamatan di air seperti bot.

“RFB dapat memudahkan penyelarasan dan memendekkan masa tindak balas bagi bantuan penyelamatan di negeri-negeri pantai timur yang terjejas dengan banjir.

“Orang ramai juga dingatkan berwaspada pada risiko bahaya dan memastikan keselamatan anak-anak selain mematikan elektrik semasa banjir bagi mengelakkan renjatan elektrik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!