Dua individu mengaku salah palsukan hak milik tanah

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Tiga individu termasuk wanita warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi tujuan penukaran hak milik tanah di Mukim Kelemak, Alor Gajah secara tidak sah sejak Julai 2022.

Tertuduh, Ayob Osman, 63, yang juga penulis petisyen dan Norshaliza Said, 41, yang masing-masing berdepan empat dan dua pertuduhan mengaku bersalah manakala Aminah Talip, 63, yang berdepan dua pertuduhan mengaku tidak bersalah.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan curang menggunakan dokumen cagaran berharga palsu sebagai tulen, iaitu Borang 14A Kanun Tanah Negara bagi tujuan pindah milik tanah asal milik Aminah Jaudin yang sudah meninggal dunia, di satu lot tanah No Hakmilik GMM 1495, Lot 7504, Mukim Kelemak.

Ayob dan Aminah turut didakwa bersama-sama menggunakan dokumen palsu Akuan Berkanun Aminah Talib yang mengikrarkan Aminah Talip adalah Aminah Jaudin.

Sementara itu, Ayob bersama seorang lagi yang telah meninggal dunia turut didakwa atas kesalahan mengikrarkan bahawa Md Yusof Bujang adalah waris sah kepada Aminah Jaudin.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah pada 28 Julai 2022 dan 19 Januari lepas dan didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 467 kanun sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Ayob dan Norshaliza secara berasingan turut didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 467 kanun sama kerana menggunakan dokumen palsu sebagai tulen selepas melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah dan Lembaga Hasil Dalam Negeri cawangan MITC Melaka pada 27 Julai 2022 dan 31 Januari 2023.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 ke atas Aminah manakala dua lagi tertuduh, tiada jaminan ditawarkan kerana mengaku bersalah.

Artikel Berkaitan:

Ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Mohd Sabri menetapkan jaminan RM14,000 ke atas Aminah bagi dua pertuduhan yang dihadapinya serta 9 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi fakta dan hukuman. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!