Tong air laris di Pulau Pinang

Jualam tong air laris di Pulau Pinang susulan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 10 Januari depan. - Foto Bernama
Jualam tong air laris di Pulau Pinang susulan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 10 Januari depan. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Orang ramai di Pulau Pinang yang bakal mengalami gangguan bekalan air selama empat hari bermula 10 Januari ini mula membuat persiapan awal bagi memastikan bekalannya mencukupi sepanjang tempoh itu.

Tinjauan mendapati kebanyakan penduduk mahupun pengusaha premis sedia maklum mengenai pengumuman gangguan bekalan air itu yang dibuat Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan mengambil tindakan sewajarnya.

Beberapa kedai menjual tong air di sekitar George Town dilihat menjadi tumpuan orang ramai yang mula membeli tong pelbagai saiz untuk menyimpan air bagi kegunaan sepanjang tempoh berkenaan.

Penjawat awam, Shahrul Ilias, 41, berkata beliau telah membeli tong berkapasiti 60 liter sebagai persiapan menghadapi gangguan bekalan air.

"Beli yang mana patut dulu, cuma harganya sedikit meningkat kerana biasanya tong 60 liter ini sekitar RM60 tetapi hari ini RM75...mahu tidak mahu kena beli juga.

Seorang pengguna membeli tong sebagai persiapan susulan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 10 Januari depan. - Foto Bernama
Seorang pengguna membeli tong sebagai persiapan susulan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 10 Januari depan. - Foto Bernama

"Saya mungkin terpaksa beli satu lagi, tong 60 liter tidak cukup sebab saya ada anak kecil berusia setahun lebih dan 12 tahun, jadi kena simpan bekalan air lebih sedikit untuk kegunaan keluarga," katanya.

Sebelum ini, PBAPP mengumumkan kira-kira 590,000 pengguna termasuk bukan domestik akan mengalami gangguan air berjadual selama 96 jam bermula 6 pagi 10 Januari hingga 6 pagi 14 Januari, bagi memberi laluan kerja-kerja penggantian dua unit injap di Loji Rawatan Air Sungai Dua serta kerja sampingan lain di 22 lokasi seluruh Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Bagi Metta, 45, yang tinggal di Green Lane pula selain menggunakan tong air beliau juga membeli plastik besar bagi menyimpan air kerana gangguan bekalan air selama empat hari itu agak lama berbanding biasa.

"Kalau guna tong air sahaja memang tak cukup untuk masak, mandi dan mencuci, jadi kena isi dalam plastik dan letak dalam kotak. Saya harap bekalan air dapat pulih lebih awal daripada tempoh dijadualkan," katanya.

Sementara itu, pemilik kedai barangan plastik, Soon, 62, berkata, sejak pengumuman mengenai gangguan bekalan air berjadual, permintaan tong air di kedainya meningkat hingga 50 tong sehari berbanding tidak sampai 10 tong sehari sebelum ini.

"Harga pula daripada RM50 hingga RM140 berdasarkan saiz dan jenis. Saya rasa menjelang tempoh gangguan bekalan air nanti lebih ramai yang akan beli dan kami telah bersedia dengan menambah stok tong air," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!