Perkara perlu dilakukan isteri bila terima permohonan poligami
APABILA pempengaruh media sosial, Aisyah Hijanah mendedahkan bahawa dirinya menerima 100 peratus harta sepencarian bersama suami, Mohd Hazalif Mohd Hazani, ramai memuji tindakannya.
Ia membuka mata banyak pihak tentang hak seorang isteri apabila suaminya memohon untuk berpoligami.
Mungkin ramai yang tidak sedar tentang perkara tersebut. Hanya apabila ada insan di sekeliling yang menghadapi situasi itu, barulah kita cakna tentangnya.
Peguam syarie Khairul Fahmi Ramli menjelaskan, isteri perlu pergi apabila dipanggil untuk ke mahkamah.
“Tolong jangan tak pergi ke mahkamah bila dipanggil. Bila di hadapan hakim, beliau sebenarnya hanya hendak tahu jika anda setuju poligami ini, apa hak yang anda hendak rekodkan. Ini kuasa hakim.
“Minta direkodkan nafkah diri ikut keperluan yang anda perlu. Kedua, minta juga direkodkan nafkah untuk anak-anak mengikut keperluan, bukan ala kadar,” katanya sebagaimana dikongsikan menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.
Bukan itu sahaja, pengamal undang-undang syariah itu menyarankan agar para isteri turut merekodkan tentang harta sepencarian kerana ia adalah kes yang rumit di mahkamah andai satu pasangan bercerai dan mahu membuat tuntutan berkenaan.
Tambahan pula katanya, perbicaraan kes harta sepencarian itu lazimnya mengambil tempoh masa panjang dan perlukan pelbagai bukti untuk perbicaraan.
“Namun begitu, bagi isteri yang dapat tuntutan poligami, anda diberi keistimewaan untuk minta hakim ‘declare’ (isytiharkan) sebagai perintah, apa sahaja harta yang suami anda ada sekarang sebagai harta sepencarian tanpa perlu bicara.
“Bahkan, anda boleh minta diisytiharkan satu perdua atau separuh bahagian milik anda walaupun suami yang beli 100 peratus. Orang lain yang hendak dapatkan satu pertiga bahagian pun sukar jika bicara kes harta sepencarian,” coretnya.
Fahmi menjelaskan, begitu pentingnya rekod harta sepencarian itu supaya ia tidak dikira sebagai pusaka dan perlu dibahagi secara faraid jika berlaku kematian suami.
“Walaupun suami beli 100 peratus rumah dan sediakan untuk isteri, mungkin benar itu harta sepencarian, tetapi jika tiada perintah dan berlaku kematian suami, rumah berkenaan tetap dikira pusaka dan perlu dibahagi secara faraid.
“Ia melainkan anda dapat perintah harta sepencarian. Hendak dapatkan perintah satu perdua bahagian, anda perlu ada bukti yang anda juga ada sumbangan langsung terhadap pembelian rumah tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, andai tiada rekod berkenaan, ujar konsultan undang-undang syariah itu, rumah dan segala harta tersebut akan dibahagikan secara faraid.
Jika ada anak, katanya, bahagian faraid isteri tadi adalah satu perlapan.
“Namun, jika suami anda berpoligami, mungkin dua isteri, bahagian anda akan jadi satu perenam. Itu belum kira suami ada tiga atau empat isteri. Lagi kecil bahagian pusaka anda.
“Tidak semena-mena anda terpaksa naik turun mahkamah hanya untuk ‘declare’ (isytihar) hantar sepencarian dan lawan berlawan dengan semua ahli waris,” ungkapnya.
Lain pula ceritanya andai isteri diceraikan sewaktu hidup.
Fahmi berkata, wanita tersebut perlu melantik peguam untuk memfailkan harta sepencarian.
“Itu pun jika harta itu masih ada. Kalau rumah sudah dijual sebelum cerai, jenuhlah anda naik turun mahkamah.
“Jangan pergi ke mahkamah dalam keadaan yang anda tak tahu apa-apa. Sangat rugi,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!