Tambahan RM800 juta, cepatkan PLSB Fasa 2 - Anwar
PASIR MAS - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM800 juta untuk mempercepatkan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa II di sini.
Beliau berkata, peruntukan itu bagi membolehkan projek tersebut disegerakan bagi meredakan tekanan banjir di Rantau Panjang.
"Projek ini akan bermula awal pada tahun hadapan. Saya dapat persetujuan dari Kerajaan Kelantan supaya menyegerakan proses pengambilan tanah.
"Hal ini bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan menyegerakan projek itu secepat mungkin," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Beliau sebelum itu menyantuni mangsa banjir d pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Lati di sini.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan penduduk di Rantau Panjang menyifatkan PLSB Sungai Golok sebagai 'benteng puaka' apabila menyebabkan mereka terpaksa menghadapi banjir buruk setiap tahun.
Rata-rata penduduk menzahirkan rasa sedih dan kecewa mereka di media sosial dengan meletakkan tanda pagar #bentengpuaka dan mendakwa ia sebagai projek yang gagal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!