Pemilik akaun FB diarah fail pembelaan terhadap saman Fahmi
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan pemilik akaun Facebook "N13 Kuang”, Mohd Fauzan Madzlan memfailkan pernyataan pembelaan selewat-lewatnya 15 Januari ini untuk menjawab saman yang dikemukakan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu selaku plaintif memfailkan saman terhadap Mohd Fauzan pada 5 September lepas, atas dakwaan memfitnah kononnya beliau memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.
Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi berkata mahkamah turut mengarahkan Fahmi memfailkan jawapan kepada pembelaan berkenaan sebelum atau pada 29 Januari ini.
"Mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 7 Februari 2024 untuk kedua-dua pihak mengemas kini status pemfailan dan pemfailan interlokutori (sekiranya ada),” kata Asheeq Ali ketika dihubungi selepas pengurusan kes secara e-Review di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Shasha Hidayah Nor Azahar hari ini.
Selain Mohd Fauzan, Fahmi juga menfailkan saman terhadap penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani serta Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai "Papagomo” berhubung isu sama.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.
Fahmi mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai lepas manakala di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos lalu.
Menurut Fahmi, kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!