KPKSM mohon Kastam pertimbang isu pertukaran pegawai
KUALA LUMPUR - Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) memohon pihak pengurusan tertinggi Kastam agar mempertimbangkan semula perintah pertukaran yang melibatkan sebilangan besar pegawai mereka.
Presidennya, Abdul Malik Mohamed Zin berkata, perintah berkenaan didakwa dikeluarkan secara drastik serta tidak mengambil kira aspek kebajikan mereka yang terlibat.
“Perintah yang dikeluarkan adalah muktamad dan sebarang rayuan tidak dibenarkan sepertimana dinyatakan dalam surat arahan pertukaran tersebut.
“Dalam hal ini pihak Kesatuan menerima banyak aduan daripada ahli yang terlibat dan melahirkan rasa kesal kerana tiada ruang untuk mereka membuat rayuan,” katanya pada Sidang Media Khas di ibu pejabat KPKSM pada Khamis.
Hadir sama, Presiden Kesatuan Sekerja Kastam Sabah, Ibrahim Bali dan Presiden Kesatuan Sekerja Kastam Sarawak, Othman Mohamad Suhaili.
Difahamkan perintah pertukaran itu dikeluarkan baru-baru ini didakwa menyebabkan berlakunya peningkatan kos sara hidup para pegawai yang diminta untuk melaksanakan perintah tersebut.
“Misalnya pegawai yang ditukarkan ke tempat yang tiada kemudahan kuarters atau kuarters penuh.
“Jadi pegawai terpaksa menyewa rumah yang akan melibatkan kos dari RM700 hingga RM1,200 sebulan, selain perlu menjelaskan bayaran pinjaman perumahan yang telah dibuat,” jelasnya.
Menurutnya, pegawai yang dikenakan perintah itu juga terpaksa hidup berasingan dengan pasangan dan keluarga disebabkan pasangan masing-masing bekerja di sektor swasta serta sukar untuk mencari kerja di tempat baharu.
“Pegawai akan gagal fokus kepada pekerjaan akibat memikirkan keselamatan keluarga yang jauh apatah lagi jika berlaku sebarang kecemasan.
“Ia juga akan mencetuskan emosi yang boleh membawa kepada kepincangan keluarga,” ujarnya.
Tambahnya, rayuan ini bukan bererti mereka menolak perintah berkenaan sebaliknya, pihaknya memohon agar proses pertukaran itu dilakukan secara berhemah.
“KPKSM cakna akan arahan penempatan dan pertukaran pegawai, justeru panduan arahan ini telah dipatuhi selama ini.
“Untuk makluman Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah melaksanakan arahan penempatan ini secara berhemah tanpa mengabaikan aspek kebajikan setiap pegawainya,” katanya.
Sehubungan itu katanya, KPKSM berharap pengurusan tertinggi Kastam melihat elemen ihsan dalam menangani perkara ini dan mempertimbangkan semula perkara tersebut.
“Nilai ihsan yang menjadi salah satu rukun dalam Konsep Malaysia Madani yang menekankan peduli dan belas kasihan terhadap keluarga orang lain, sahabat handai, jiran tetangga dan masyarakat keseluruhannya.
“Perasaan ihsan ini adalah soal menyelami penderitaan dan kemelaratan orang lain, lalu berusaha mencari jalan bagi mengubatinya,” katanya lagi.
KPKSM dianggarkan dianggotai kira-kira 5,600 anggota pegawai di seluruh Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!