1,500 iklan ah long diturunkan di Padang Terap

Sebahagian iklan ah long yang diturunkan di sekitar Kuala Nerang semalam. - Foto: MDPT
Sebahagian iklan ah long yang diturunkan di sekitar Kuala Nerang semalam. - Foto: MDPT
A
A
A

KUALA NERANG - Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) menurunkan kira-kira 1,500 iklan ah long dalam operasi khas bagi membanteras kegiatan pinjaman wang haram sepanjang 2019.

Setiausahanya, Zulhusni Mohamad Rashid berkata, aktiviti memasang iklan haram tersebut sering berlaku berikutan pihak terbabit mengulangi perbuatan berkenaan walaupun pernah ditahan sebelum ini.

Menurutnya, pemasangan iklan tersebut di sekitar daerah ini juga turut dilakukan orang luar.

"Pada Oktober lalu, kami baru saja mengadakan operasi yang sama dengan pihak polis tapi kembali tumbuh seperti cendawan.

"Nampaknya mereka ini tidak serik walaupun ada yang pernah ditangkap. Mereka yang ditahan adalah individu yang mengambil upah memasang iklan ini dengan kadar antara 10 hingga 30 sen bagi setiap unit iklan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, MDPT merampas 430 iklan ah long dalam satu yang operasi dijalankan di sekitar daerah ini bermula jam 9 pagi hingga 2 petang semalam.

Zulhusni berkata, operasi tersebut memberi tumpuan kepada poster haram yang dipasang mahupun dilekatkan di tiang lampu dan bangunan.

"Modus operandi mereka memasang iklan haram ini pada waktu Maghrib sekitar jam 7 malam hingga 8 malam dan pada jam 2 pagi hingga 4 pagi bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai sekiranya ada maklumat ataupun terlihat aktiviti itu boleh melaporkan kepada MDPT ataupun polis untuk tindakan seterusnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!