Kilang bihun musnah terbakar
KUALA KETIL - Sebuah kilang bihun dilaporkan musnah terbakar dalam kejadian sekitar jam 3 pagi dekat Kawasan Perindustrian Kuala Ketil di sini pada Jumaat.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali berkata, panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 diterima pada 3.26 pagi membabitkan kilang yang dipercayai berkaitan dengan pembuatan bihun.
Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya, BBP Sungai Petani, BBP Kulim Hi-Tech dan BBP Yan telah diarahkan ke lokasi bagi operasi memadam kebakaran.
"Sebanyak 4 jentera bomba dan 2 jentera tangki air dengan kira-kira 40 pegawai dan anggota dari BBP terlibat dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Setiba di lokasi kejadian, api sedang marak dan kebakaran melibatkan sebuah bangunan dengan keluasan kilang 151 meter x 60 meter," katanya.
Beliau berkata, anggota bomba yang bertugas membuat pemadaman kebakaran menggunakan enam aliran dan enam pancutan dari kiri dan kanan serta bahagian hadapan bangunan yang membabitkan tiga sektor dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela PBS berdekatan.
Kebakaran terkawal pada pukul 5.20 pagi.
Susulan itu, Pusat Kawalan Bencana (PKB) kebakaran berkenaan diaktifkan.
"Ketika ini kerja-kerja kerja 'overhaul' dilakukan bagi memastikan api serta bara padam sepenuhnya.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!