Covid-19: Tiada varian baharu dikesan di Malaysia
SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan sehingga kini tiada varian baharu Covid-19 yang dikesan di Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, varian yang sedang menular dalam negara adalah masih varian Omicron, dengan subvariannya XBB.1.16, XBB.1.5, EG.5 dan termasuk JN.1.
Jelasnya lagi, subvarian yang sedang menular itu juga diketahui tidak menyebabkan kes yang lebih teruk kepada individu yang dijangkiti.
"Virus Covid-19 akan terus berada bersama kita sama seperti virus salur pernafasan yang lain seperti influenza.
"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan keseimbangan dari segi kesihatan dan kehidupan semasa musim peningkatan kes-kes jangkitan berjangkit," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada 24 Disember lalu, Dzulkefly menegaskan peningkatan kes Covid-19 di Malaysia ketika ini tidak menggambarkan sebarang situasi cemas.
Ini kerana katanya, penggunaan fasiliti kesihatan termasuk kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) masih lagi terkawal.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi menjelaskan keadaan wabak tersebut di negara ini masih terkawal dengan kebanyakan kes yang dilapor mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.
"Orang ramai dinasihatkan agar meneruskan tanggungjawab penjagaan kendiri pemakaian pelitup muka di situasi yang memerlukan.
"Melakukan TRIIS dan kemaskini status pada MySejahtera, melindungi golongan rentan dan mendapatkan maklumat yang betul dan sahih berkaitan kes jangkitan saluran pernafasan termasuk Covid-19 di sumber yang boleh dipercayai.
TRIIS merujuk kepada Test (Uji)), Report (Lapor), Isolate (Asingkan diri), dan Seek (Dapatkan bantuan/rawatan).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!