Perang dan musim dingin di Gaza, ujian buat kita

PERSATUAN Cinta Gaza Malaysia memberikan perhatian khusus buat anak-anak Palestin agar mereka terus mendapat bekalan makanan dan penjagaan kesihatan.
PERSATUAN Cinta Gaza Malaysia memberikan perhatian khusus buat anak-anak Palestin agar mereka terus mendapat bekalan makanan dan penjagaan kesihatan.
A
A
A

HAMPIR 100 hari perang antara Palestin dan penjajah Israel berlangsung. Kadar kematian semakin meningkat terutama ramai antara mangsa terdiri daripada kanak-kanak dan golongan wanita. Data hari ke-76 perang mencatatkan 20,000 kadar kematian di Gaza, 8000 daripadanya kanak-kanak, manakala 6200 daripadanya adalah golongan wanita.

Situasi terkini di Gaza tidak lagi sesuai sebagai tempat untuk meneruskan hidup. Dengan bekalan makanan yang terhad, ditambah lagi bekalan air yang tidak mencukupi, amat menyukarkan seluruh warganya terutama yang memiliki anak kecil untuk meneruskan kehidupan di sana. Tambahan lagi, musim sejuk mula menjengah negara-negara Arab, tidak terkecuali Gaza.

Musim sejuk akan bermula pada Disember sehingga Mac, dengan kadar purata suhu serendah 8 darjah Celsius pada bulan Januari. Hujan lebat dan angin dingin menyukarkan mereka yang tinggal di dalam penjara terbesar dunia untuk terus bertahan meneruskan kehidupan.

Memasuki minggu ke-12 serangan Israel terhadap Semenanjung Gaza, masih tiada tanda ia akan berhenti. Kegilaan Israel menyerang atas dasar “menghapuskan HAMAS” menatijahkan sejumlah 20,674 orang telah pun syahid, 8500 daripadanya kanak-kanak dan 6,300 daripadanya pula adalah golongan wanita.

Sehingga ke hari ini, seramai 1.8 juta telah pun kehilangan tempat tinggal di tanah sendiri. Mereka ini kini menetap di merata tempat, termasuklah di sekolah-sekolah, khemah-khemah yang didirikan, kawasan perkarangan hospital malah ada yang menetap di rumah mereka yang separa musnah, menunjukkan kekentalan jiwa mereka dalam menghadapi ujian yang bertimpa ini.

Kebanyakan mereka dari kawasan utara Gaza yang dipaksa keluar daripada kediaman masing-masing awal Oktober tidak menjangka bahawa perang akan berlarutan hingga musim sejuk. Oleh kerana itu, mereka langsung tidak melakukan persediaan untuk menghadapi musim sejuk dalam keadaan perang masih berlangsung.


SEJAK hari pertama perang, Persatuan Cinta Gaza Malaysia terus menyalurkan sumbangan merangkumi makanan panas, kelengkapan menyelamat, tilam dan baju sejuk, kewangan, bekalan bahan api serta lain-lain bantuan ke seluruh Gaza.
SEJAK hari pertama perang, Persatuan Cinta Gaza Malaysia terus menyalurkan sumbangan merangkumi makanan panas, kelengkapan menyelamat, tilam dan baju sejuk, kewangan, bekalan bahan api serta lain-lain bantuan ke seluruh Gaza.

Artikel Berkaitan:

Kelam di hujung terowong

Dengan keadaan terkini yang menafikan peluang untuk kembali ke kawasan kediaman mereka yang terletak di utara Gaza dan jumlah bantuan kemanusiaan yang terhad memasuki Gaza saat ini, keperluan untuk mendapatkan pakaian yang mampu membantu menghadapi musim sejuk ibarat kelam di hujung terowong.

Ini tidak termasuk masalah bekalan makanan yang terhad sepanjang perang berlaku. Kerana serangan yang berterusan, harga bagi barang keperluan seperti pakaian musim sejuk dan bekalan makanan melonjak naik di Gaza, menjadikan ia agak sukar untuk mereka yang kini bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, malah kehilangan kerja yang menjadi sumber pendapatan!

Impak kebuluran dan sejuk melampau akan mengakibatkan pelbagai komplikasi penyakit antaranya kegagalan jantung untuk berfungsi, kesihatan mental, jangkitan pada paru-paru, kurang zat makanan yang akhirnya akan membawa kepada kegagalan sistem imun untuk bertindak balas dengan penyakit berjangkit.

Bagi orang biasa, faktor risiko untuk beberapa keadaan kesihatan meningkat apabila kekurangan zat makanan atau terdedah kepada selsema untuk jangka masa yang lama. Bagi kanak-kanak di Gaza, yang membentuk hampir separuh jumlah daripada penduduk, risiko ini menjadi lebih teruk.

Untuk memanaskan diri dan persekitaran, minyak petrol menjadi sumber utama untuk menghidupkan pemanas yang ada. Dalam fasa perang yang masih lagi berlaku, keterhadan bekalan menyebabkan warga Gaza terpaksa memotong pokok-pokok yang ada untuk dijadikan sebagai bahan api yang akan memanaskan diri mereka dan memanaskan air untuk digunakan sewaktu memasak atau mandi.

Mereka kini terpaksa memotong pokok-pokok zaitun yang tumbuh subur di sekitar Gaza, antara tumbuhan yang mengambil masa untuk tumbuh dan ia merupakan sumber utama makanan serta minyak di kawasan Palestin.

Sistem perubatan lumpuh

Hampir dua juta orang yang kehilangan tempat tinggal di Gaza kini berhadapan dengan akses terhad terhadap air bersih dan sanitasi, menyebabkan peningkatan mendadak dalam penyakit berjangkit. Penyakit bermusim seperti selesema mudah merebak kerana kesesakan persekitaran.

UBAT-ubatan sukar diperoleh dengan mudah, memasuki fasa perang, sistem perubatan di Gaza telah lumpuh sepenuhnya.
UBAT-ubatan sukar diperoleh dengan mudah, memasuki fasa perang, sistem perubatan di Gaza telah lumpuh sepenuhnya.

Malah staf hospital juga terdedah kepada jangkitan selesema. Lebih memburukkan keadaan, ubat-ubatan tidak dapat diperolehi dengan mudah. Memasuki fasa perang, sistem perubatan di Gaza telah lumpuh sepenuhnya.

Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) salah sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa mereka gagal untuk memenuhi keperluan bekalan makanan untuk dua juta orang kerana kekurangan bekalan.

Setakat 20 Disember, UNRWA melaporkan bahawa mereka telah mengagihkan tepung kepada lebih 125,000 keluarga yang tinggal di luar pusat perlindungannya di selatan Gaza.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) yang juga sebuah agensi di bawah PBB, melaporkan bahawa sebelum perang, purata 500 buah trak yang membawa barang keperluan harian memasuki Gaza setiap hari.

Namun selepas 7 Oktober, sekurang-kurangnya hanya 100 buah trak yang membawa barang untuk memenuhi keperluan. Ini menyebabkan akses kepada barang keperluan terhad dan menyebabkan warga Gaza terdesak di dalam meneruskan kehidupan.

Kami di Persatuan Cinta Gaza Malaysia berterusan untuk membantu dan menyalurkan sumbangan sejak hari pertama perang berlaku. Bantuan yang merangkumi makanan panas, alat kelengkapan menyelamat, bantuan tilam dan baju sejuk, kewangan serta bekalan bahan api serta lain-lain bantuan telah pun disalurkan di seluruh kawasan Gaza yang mencakupi sejumlah 462,050 penerima manfaat. Semua bantuan ini berterusan dijalankan walaupun keadaan tegang di Gaza masih belum reda.

Ayuh, teruskan menyumbang melalui tabung Kecemasan CGM untuk kita bersama-sama membantu saudara kita di Gaza.

***Muhammad Syahmi Afiq Mohd Shukari ialah Ketua Jabatan Advokasi dan Penerbitan, Persatuan Cinta Gaza Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!