Tahun Melawat Perak 2024 diteruskan

Sze Yee (tiga dari kanan) bersama barisan pemenang Pertandingan Fotografi Pelancongan 2023.
Sze Yee (tiga dari kanan) bersama barisan pemenang Pertandingan Fotografi Pelancongan 2023.
A
A
A

IPOH - Aktiviti berkaitan pelancongan yang dirancang sempena Tahun Melawat Perak 2024 akan diteruskan meskipun berlaku perkembangan kes Covid-19.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, pihaknya yakin dan percaya pemantauan rapi yang diambil Kementerian Kesihatan (KKM) dapat mengawal wabak itu daripada terus menular.

Sze Yee dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Sze Yee dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Malah menurutnya, perkembangan semasa juga menunjukkan, orang ramai termasuk pelancong luar negara dapat melakukan kawalan kendiri dengan baik sama ada ketika melancong atau berada di tempat umum.

"Walaupun dalam keadaan Covid-19 sedang meningkat, tetapi pengunjung-pengunjung tidak menunjukkan kegelisahan dan keresahan yang tinggi terhadap wabak ini.

"Ramai yang masih mengambil langkah berjaga-jaga seperti pakai pelitup muka dan tidak berdiri dekat. Bukan itu sahaja, rakyat Malaysia dan negara luar telah mempunyai vaksin membuatkan mereka tiada kerisauan melawat ke negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Laman Web 'Perak GoGoGo' dan penyampaian hadiah Pertandingan Fotografi Pelancongan 2023 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengurus Besar Tourism Perak, Zuraida Md Taib.

Artikel Berkaitan:

Bagi memeriahkan Tahun Melawat Perak 2024, sebanyak 120 acara disenaraikan dalam kalendar pelancongan merangkumi aktiviti peringkat daerah, negeri dan antarabangsa yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan.

Sze Yee berkata, kerajaan negeri yakin semua segmen diatur itu kekal mendapat sambutan pelancong.

"Perkembangan Covid-19 tidak akan menjadi satu masalah dalam kempen ini (Tahun Melawat Perak) kerana dalam semua perkara, kita masih ikut garis panduan yang ditetapkan kementerian," katanya.

Pada 23 Disember lalu, media melaporkan kes Covid-19 meningkat sebanyak 29.5 peratus kepada 22,413 kes berbanding 17,307 kes direkodkan pada minggu sebelumnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!