Rugi berpuluh ribu, kedai runcit dilanda banjir
HULU TERENGGANU - Nasib malang menimpa seorang ibu tunggal yang juga pemilik sebuah kedai runcit di Kampung Paya Besar, di sini apabila mengalami kerugian puluhan ribu akibat dilanda banjir.
Fatimah Yasin, 62, berkata, setiap kali banjir dia terpaksa mengeluarkan wang simpanan bagi menggantikan semula peralatan dan barangan jualannya yang rosak dan dihanyutkan akibat arus deras.
Menurutnya, pada tahun ini sahaja dia perlu menanggung kos kerugian lebih RM30,000 susulan banyak barangan miliknya rosak kerana ditenggelami air.
"Saya baru tiga hari berniaga selepas terkena banjir pada 14 Disember lepas dan sekali lagi kena hadap banjir gelombang ketiga.
"Penat berkemas yang dulu pun tak hilang-hilang lagi... ini dah datang yang baru. Jika ada pilihan memang nak cari lokasi lain tetapi saya berniaga kecil di kampung sahaja.
"Mana ada banyak duit....malah nak buat kerja lain pun saya tak pandai dan daripada dulu hanya tahu berniaga," katanya ketika ditemui pemberita di premis kedai yang juga kediamannya di Kampung Paya Besar dekat sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Fatimah yang juga berniaga makanan dan minuman berkata, dia tinggal bersendirian selain tidak mampu mengangkut serta menyelamatkan semua barang di kedainya yang terletak di kawasan rendah dan sering dilanda banjir.
"Banyak perabot dan barangan seperti peti sejuk dan televisyen di mana dah minta tolong anak yang tinggal di kampung sebelah simpan siap-siap di atas para dibina tinggi paras siling setiap kali masuk musim banjir.
"Tetapi barang-barang jualan runcit banyak yang tak dapat diselamatkan kerana stor simpanan barang kecil sahaja maka tak muat semua barang," jelasnya.
Dalam pada itu, Fatimah menyatakan selain peralatan dan barang jualan, arus air yang deras turut menyebabkan beberapa bahagian rumahnya rosak dan perlu dibaik pulih.
Justeru, dia berharap supaya bantuan daripada mana-mana pihak bagi membaiki kerosakan tersebut terutama di bahagian dinding bilik tidur yang hanya menunggu masa untuk roboh.
"Saya memegang status ibu tunggal dan tidak mempunyai sumber kewangan yang stabil tetapi tidak pernah menerima sebarang bantuan dari mana-mana agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
"Banyak permohonan dah dibuat tetapi ditolak dengan pelbagai alasan. Jadi saya harap kali ini tolonglah bantu baiki rumah ini.
"Saya tinggal seorang dan tanggung kerugian akibat banyak barang rosak akibat banjir. Saya hanya peniaga kecil dan bergantung pada jualan makanan dan barang malah simpanan saya sudah tiada," ujarnya dengan nada sebak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!