25 syarikat sertai Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Muslim

Dua jemaah TM Tours & Travel Sdn Bhd menerima sijil penghargaan Ibadah Haji 1444 Hijrah.
Dua jemaah TM Tours & Travel Sdn Bhd menerima sijil penghargaan Ibadah Haji 1444 Hijrah.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SEBANYAK 25 syarikat pelancongan bumiputera akan menyertai Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Muslim yang dianjurkan oleh Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputra Malaysia (Bumitra Malaysia) bertempat di hotel Movenpick KLIA, Sepang, bermula dari 19 hingga 21 Januari nanti.

Presiden Bumitra Malaysia, Harun KC Ahmmu berkata, kesemua syarikat tersebut telah diberikan lesen oleh TH untuk mengendalikan pakej haji swasta pada musim haji tahun 2024.

Harun berkata, karnival itu akan diadakan bermula jam 9 pagi hingga 9 malam pada 19 hingga 20 Januari manakala pada 21 Januari pula ia diadakan bermula jam 9 pagi dan akan berakhir pada jam 6 petang.

“Karnival itu akan dimeriahkan dengan 140 pempamer termasuklah Bank Islam, Malaysia Airlines, Saudi Tourism Board serta 25 syarikat pengelola jemaah haji yang menyediakan promosi pakej haji, pelbagai perkhidmatan dan produk yang menarik kepada pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, karnival tersebut dianjurkan bertujuan mendekati bakal jemaah dengan maklumat terbaharu termasuk latarbelakang pengelola jemaah haji swasta, pakej-pakej yang ditawarkan, harga pakej, hotel penginapan serta pembimbing jemaah ketika di tanah suci.

“Bakal jemaah boleh memilih pakej yang bersesuaian dengan bajet mereka dan mendapat gambaran jelas suasana menunaikan haji terus dari pempamer.

“Pelbagai program disediakan sebagai pengisian sepanjang karnival ini berlangsung antaranya haji mabrur iaitu simulasi haji yang disertai oleh 40 kanak-kanak,” jelas Harun yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Karnival itu.

Harun berkata, turut diadakan sepanjang karnival itu ialah persembahan nasyid Rabbani, bual bicara bersama Pengarah Eksekutif TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, wakil Jabata Kemajuan Islam Malaysia, kuiz serta cabutan bertuah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd, Abdul Malik Abdul Rahman berkata, penganjuran karnival itu akan memberikan kemudahan kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai pakej yang ditawarkan oleh mereka.

“Sebagai persedian musim haji tahun 2024, kami telah membuat persedian yang rapi termasuk menyediakan risalah, pembimbing dan menawarkan harga yang berpatutan,” katanya.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif TM Tours & Travel Sdn Bhd, Mohd Ridzwan Abdullah berkata, karnival itu merupakan platform yang tepat kepada syarikatnya untuk mempromosikan pelbagai pakej haji yang bersesuaian dengan pilihan jemaah.

Beliau juga memaklumkan akan mengaturkan ceramah, bimbingan dan praktikal berkaitan ibadah haji sebelum jemaah berangkat ke tanah suci.

Sepanjang tiga hari karnival ini, Bumitra Malaysia dengan kerjasama masjid KLIA yang terletak bersebelahan lokasi karnival akan menyediakan gerai menjual makanan dan gerai aneka jualan temasuk peralatan dan pakaian untuk jemaah haji bagi memberi kemudahan kepada bakal jemaah dan pelawat ke karnival ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan karnival atau tempahan lot gerai, mereka boleh menghubungi Naib Presiden Bumitra Malaysia, Kamarun Ab Rahman di talian 019 2790121.