Agong, Permaisuri zahir takziah buat keluarga legenda bola sepak Shaharuddin
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga legenda bola sepak negara Shaharuddin Abdullah yang meninggal dunia akibat penyakit asma, semalam.
Turut menzahirkan ucapan takziah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarganya sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu itu.
"Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.
"Seri Paduka Baginda amat menghargai sumbangan Allahyarham kepada negara dan menyifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan besar, khususnya, kepada sukan bola sepak negara,” menurut catatan itu.
Shaharuddin, 75, pernah mewakili negara dalam Sukan Olimpik Munich 1972 dan ketika zaman kegemilangannya, beliau merupakan seorang penyerang dan penjaring yang handal, berbakat besar serta sukar ditandingi.
Shaharuddin mula bermain untuk pasukan kebangsaan pada 1967 dan kelincahannya di padang menyebabkan beliau diberi gelaran ‘The Black Cat’ dan ‘Sharpshooter’.
Allahyarham merupakan pemain keempat di Malaysia yang paling banyak menjaringkan gol dengan keseluruhan 39 jaringan dalam 70 penampilannya itu, meninggal dunia di Hospital Taiping, Perak awal pagi semalam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!