Terkepung banjir, bot jadi talian hayat penduduk Kampung Delong
DUNGUN - Tiga bot milik penduduk kampung menjadi ‘talian hayat’ bagi kira-kira 500 penduduk di Kampung Delong di sini berikutan laluan utama di kampung mereka tidak boleh diakses oleh kenderaan akibat banjir yang melanda sejak minggu lepas.
Mohamad Amirul Fitri Abd Rahman, 24, berkata, penduduk biasanya akan menggunakan khidmat bersama botnya itu seawal jam 7.30 pagi untuk berulang-alik ke jalan utama bagi pelbagai tujuan, termasuk mendapatkan bekalan makanan dan barang keperluan harian.
Walaupun terpaksa meredah perjalanan kira-kira 1.5 kilometer (km) melalui kawasan sawit, anak jati Kampung Delong itu berkata, ia tidak menjadi masalah buatnya dan berasa seronok dapat menyumbang kudrat membantu mereka yang memerlukan.
"Kita di kampung ini bukan semua rumah yang tenggelam, ada yang tidak dinaiki air. Walaupun rumah tidak dinaiki air tetapi mereka tetap ingin keluar untuk pergi kerja atau cari barang keperluan. Jadi terpaksalah gunakan bot sebab memang kami di sini terputus dari jalan utama," katanya.
Seorang penduduk tempatan, Che Wan Zabidi Ngah, 50, yang turut menyumbang bakti membawa penduduk dengan bot ke sana sini berkata, meskipun dia mengeluarkan modal RM6,700 untuk membeli bot dan enjin, namun tetap berasa gembira kerana dapat membantu penduduk sekitar.
Dia yang mesra dipanggil Pok Zu berkata, pada asalnya bot itu dibeli untuk kegunaan peribadi, namun melihatkan kesukaran yang menimpa penduduk lain dia tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban penduduk lain.
"Ada juga yang hendak bayar tapi Pok Zu kata tidak mengapalah Pok Zu ikhlaskan sahaja sebab kita pun orang sini dah biasa kena macam ni (banjir) jadi mana yang saya boleh bantu, saya bantu," katanya yang bekerja sebagai tukang kampung.
Sementara itu, penduduk kampung, Tengku Rosdi Tengku Hamzah, 59, meluahkan rasa kecewa kerana terpaksa berhadapan dengan keadaan jalan utama yang tidak boleh diakses, setiap kali musim tengkujuh tiba.
"Bagi saya kawasan jalan di hadapan itu mungkin boleh dinaikkan sedikit supaya kami tidak terkepung macam ini sebab bukan sahaja sukar untuk kami malah pihak-pihak berkaitan nak hantar bantuan pun susah. Tahun ini mujur tidak teruk seperti tahun sebelum-sebelum ini," katanya.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Delong, Mohd Zunaidi Yusoff, 53, berkata, bagaimana pun keadaan itu tidak menjadi penghalang untuk mana-mana agensi berkaitan seperti Polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk menghantar bantuan ke kampung berkenaan.
Setakat pagi ini, Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Kampung Delong menempatkan sebanyak 116 individu daripada 32 keluarga. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!