Guru sanggup pindah perabot ke tadika elak terkena banjir

Antara barangan Haslina dan staf tadika lain dipindahkan di tadika tempatnya bekerja. Gambar kecil Haslina
Antara barangan Haslina dan staf tadika lain dipindahkan di tadika tempatnya bekerja. Gambar kecil Haslina
A
A
A

HULU TERENGGANU - Tindakan pantas seorang guru tadika memindahkan sebahagian perabot dan barang elektrik ke tempat kerjanya di sini berjaya menyelamatkan barangan miliknya sekeluarga daripada musnah ditenggelami air.

Haslina Mohd Zanggi, 52, berkata, dia mula memindahkan barangan tersebut secara berperingkat menggunakan kenderaan sendiri sejak awal bulan Disember lalu sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghadapi gelombang banjir di kediamannya di Kuala Berang dekat sini.

Menurutnya, barangan yang dipindahkan itu ditempatkan di sebuah tempat yang telah dikosongkan di tadika tersebut.

"Kita angkat sendiri kesemua barangan di rumah seperti peti ais, mesin basuh dan barangan elektrik lain secara beransur-ansur.

"Kalau ikutkan memang penat sebab tiap-tiap tahun kena pindah dan angkut barang tapi ini sahaja alternatif mampu dilakukan bagi menyelamatkan sebahagian barangan berharga di rumah daripada rosak," katanya.

Kawasan sekitar kediaman Haslina masih dinaiki air.
Kawasan sekitar kediaman Haslina masih dinaiki air.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di sebuah tadika dekat sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Haslina berkata, dia masih trauma dengan pengalaman menghadapi banjir besar pada tahun lepas sehingga merosakkan kesemua barang miliknya sekeluarga.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, kali ini dia bersiap sedia dengan memindahkan sebahagian perabot asas dan barangan elektrik seperti peti ais, mesin basuh dan ketuhar gelombang mikro yang penting sebulan awal bagi kegunaan harian sepanjang berada di tadika tersebut.

"Ada sebahagian barangan kami dah simpan di rumah saudara-mara sebaik masuk tengkujuh. Air naik mendadak sehingga paras empat kaki pada 24 Disember lalu menyebabkan beberapa perabot dan barangan elektrik yang baru dibeli dua bulan lalu rosak disebabkan banjir.

Kediaman Haslina masih dinaiki air
Kediaman Haslina masih dinaiki air

"Apa pun kami tetap bersyukur kerana dapat menyelamatkan sebahagian barangan berharga dengan pindahkannya di tadika ini. Selain barangan kami sekeluarga malah barangan kepunyaan staf tadika ini juga diletakkan di sini.

"Ini merupakan usaha kami untuk selamatkan barang meskipun rasa lelah selain perlu korbankan tenaga dan masa berulang alik dari rumah ke sini pindahkan barangan yang bersaiz besar serta berat," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!