Banjir: Empat sekeluarga sudah lali bermalam dalam kereta

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Banjir disebabkan air pasang besar dan hujan lebat yang kerap berlaku setiap kali tiba musim tengkujuh membuatkan empat sekeluarga dari Kampung Duyong Kelab Aya, di Pulau Duyong, di sini sudah lali apabila terpaksa bermalam dalam kereta.

Normatini Ali, 46, berkata, pertembungan fenomena alam itu menyebabkan rumahnya yang terletak berhampiran sungai sering dinaiki air secara mendadak hingga ke paras paha pada waktu malam dan akan surut pada keesokan paginya.

Menurutnya, situasi itu akan berlaku dua atau tiga kali dalam setahun hingga menyebabkan dia dan suami, Mohd Asmadi Deraman, 54, bersama dua anak mereka, Muhammad Akashah Aiman, 21, dan Alia Nabila, 13, terpaksa menyelamatkan diri dengan bermalam di dalam kereta Perodua Myvi milik mereka.

"Terbaharu pada malam Isnin lepas apabila berlaku air pasang sekitar 8 malam dan rumah kami dinaiki air dengan cepat, jadi kami pun bergegas masuk dalam kereta dan suami memandu ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sivik Pulau Duyong.

"Waktu itu PPS tersebut belum dibuka kerana kami yang pertama dilanda banjir, jadi kami hanya menunggu di depan PPS dan tidur di dalam kereta hingga ia dibuka keesokan paginya setelah banyak rumah penduduk dinaiki air,” katanya ketika ditemui Bernama di PPS Dewan Sivik Pulau Duyong hari ini.

Normatini berkata, sepanjang malam itu, mujur tidak banyak nyamuk hingga membolehkan mereka tidur lena walaupun dalam kereta dan apabila keadaan sejuk, suaminya akan mematikan enjin kereta untuk menjimatkan petrol.

Dia berkata, ada masanya mereka sekadar bermalam di dalam kereta dan tidak menghuni di PPS kerana banjir yang melanda waktu malam akan segera surut sekitar waktu Subuh.

Dia juga meletakkan pelbagai barangan keperluan seperti pakaian, tuala, perkakas mandi dan telekung dalam kereta berkenaan yang sudah dianggap seperti rumah kedua.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pesakit asma dan buah pinggang tahap empat, Wan Norasiah Jali, 42, berkata, berikutan keadaan kesihatannya, dia berpindah lebih awal pada Rabu lepas meskipun rumahnya belum dinaiki air.

"Pada petang itu saya tengok rumah jiran ada yang dinaiki air, jadi saya segera ke PPS menaiki motosikal bersama suami kerana berdasarkan pengalaman sebelum ini, kalau rumah jiran banjir rumah saya pun akan kena juga.

"Tahun lepas saya tunggu hingga rumah dinaiki air dan waktu itu juga sakit saya menyerang secara tiba-tiba, jadi saya mengharung air sambil menahan sakit.

"Sebab itu, tahun ini saya pindah awal kerana sakit saya ini boleh menyerang bila-bila masa,” katanya.

Sementara itu, pertembungan air pasang besar dan hujan lebat menyebabkan lebih 70 penduduk di sekitar Pulau Duyong terpaksa berpindah ke PPS Dewan Sivik Pulau Duyong sejak Selasa lepas dan hari ini mereka mula pulang ke rumah masing-masing setelah air surut. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!