JKKP siasat insiden pekerja maut jatuh 24 meter

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor telah mengarahkan sepasukan pegawainya menyiasat insiden seorang pekerja lelaki maut akibat terjatuh dari tempat tinggi ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di sebuah kilang kertas kitar semula di Banting Rabu lepas.

JKKP Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia menerima maklumat mengenai insiden yang berlaku pada 2.20 petang itu selepas tular di media sosial.

Menurut JKKP, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 22 tahun bersama seorang rakannya telah ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di bahagian pully pada mesin konveyor solid fuel secara manual iaitu menggunakan penyodok.

"Ketika kejadian, penyodok dan badan mangsa tersangkut di antara pully dan tali sawat konveyor yang sedang beroperasi menyebabkan mangsa tertarik dan berpusing pada pully lalu terjatuh ke bawah melalui sebuah lubang belting tensioner yang berada bersebelahan dengan pully tersebut," katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, mangsa terjatuh dari ketinggian kira-kira 24 meter dan pegawai perubatan mengesahkan dia meninggal dunia ketika tiba di hospital.

Susulan itu, JKKP Selangor telah mengeluarkan notis larangan serta-merta atas kegagalan majikan untuk memastikan sistem kerja selamat sehingga berlakunya kemalangan termasuk larangan kacau ganggu di kawasan kemalangan.

Menurut JKKP, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan serta pihak yang bertanggungjawab manakala majikan bakal berdepan tindakan perundangan jika terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!