Penunggang motosikal cedera 'dilanggar' pejalan kaki
GOMBAK - [DIKEMAS KINI] Seorang penunggang motosikal cedera selepas 'dilanggar' pejalan kaki wanita yang melintas jalan di Taman Seri Gombak.
Situasi pelik tetapi benar itu dikongsikan menerusi rakaman video berdurasi 22 saat yang ditularkan di media sosial.
Menerusi rakaman tersebut, motosikal ditunggang seorang lelaki tidak sempat mengelak wanita berkenaan yang dilihat sedang berlari anak sewaktu melintas jalan.
Situasi tersebut menyebabkan penunggang motosikal hilang kawalan sebelum terjatuh dan terbaring di atas jalan sementara wanita tersebut turut menahan kesakitan kesan pelanggaran tersebut.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan tahap kecederaan dialami kedua-dua mangsa susulan kejadian berkenaan..
Seorang pengguna media sosial turut memaklumkan yang kejadian tersebut difahamkan berlaku pada antara Rabu atau Khamis.
Sementara itu, rata-rata pengguna media sosial menganggap situasi itu jarang berlaku dan pelik namun mendoakan urusan kedua-dua mereka dipermudahkan.
"Kalau OKU kesian. Penunggang motosikal pun kasihan juga terus tak sedarkan diri," komen Muhammad Imran.
"Tapi kenapa penunggang lagi parah dari pejalan kaki.. Member terus tak bangun lepas langgar," komen Mohd Firdaus Zamani pula.
Dalam pada itu, jurucakap dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak memaklumkan sehingga kini belum ada sebarang laporan polis dibuat berhubung kejadian tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!