Tiga lelaki sesat ketika daki bukit Janda Mandi

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

CHUKAI - Bomba sedang menjalankan usaha menyelamatkan tiga lelaki yang sesat ketika mendaki Bukit Janda Mandi di sini pagi tadi.

Ketiga-tiga lelaki itu sebelum ini dikhuatiri hilang selepas tersasar dari laluan asal ketika mendaki bukit tersebut, namun seorang daripadanya berjaya menghubungi pihak bomba pada 4.29 petang dan memaklumkan lokasi mereka berada.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata, usaha menyelamat berdepan beberapa halangan termasuk keadaan cuaca dan laluan bukit yang curam.

Beliau berkata, pihak bomba sedang meninjau dan membuat penilaian laluan paling selamat dan cepat untuk membawa turun mangsa.

"Mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Khairul Izzat Abas, 21; Muhammad Daniel Irfan Ahmad Redzuan, 19, dan Muhammad Amin Amiruddin Sabmun, 18, kesemuanya berasal dari Kemaman,” katanya menambah empat jentera berserta 15 anggota terlibat dalam operasi itu.

Azman turut menasihatkan orang awam supaya menghentikan sementara aktiviti pendakian dan rekreasi di lokasi berisiko pada musim tengkujuh ini bagi mengelak kejadian tidak diingini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!