3,284 premis diperiksa sempena skim harga maksimum Krismas

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 3,284 premis perniagaan diperiksa sepanjang penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas bermula 23 hingga 27 Disember lalu.

Bagaimanapun, hanya satu tindakan undang-undang diambil hasil pemeriksaan terhadap premis terbabit.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Adam berkata, tindakan berkenaan dikenakan terhadap peniaga yang gagal meletakkan tanda harga pada barangan terkawal iaitu tomato.

Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan merangkumi 69 pemeriksaan ke atas premis borong dan 3,215 pemeriksaan ke atas premis runcit.

“Peniaga juga wajib meletakkan tanda harga merah jambu ke atas barangan terkawal supaya pengguna dapat membezakan barangan biasa dengan barangan terkawal.

“Penggunaan tanda harga merah jambu ini sangat penting bagi mengelakkan pengguna terkeliru semasa membeli barang keperluan.

“Sepanjang skim ini, sebanyak 14 jenis barangan harga terkawal berserta harga maksimumnya telah diwartakan bagi laksanakan skim ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Azman menambah, kementerian berkenaan tidak menerima sebarang aduan sepanjang menjalankan skim itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, majoriti peniaga komited dalam mematuhi peraturan harga maksimum yang dikuatkuasakan sepanjang tempoh lima hari pelaksanaan skim tersebut.

“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada pihak industri dan keseluruhan peniaga atas komitmen serta kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan skim ini.

“Berdasarkan pemantauan dan maklum balas orang ramai, skim ini berjalan dengan baik serta lancar,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!