'Biar sampai keluar peluh jantan'

Barisan pemain Harimau Malaya giat menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya menjelang sepak mula Piala Asia di Qatar bulan depan. Foto: FB FAM
Barisan pemain Harimau Malaya giat menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya menjelang sepak mula Piala Asia di Qatar bulan depan. Foto: FB FAM
A
A
A

PEMAIN skuad negara perlu mengerah segala kudrat untuk mengapai sasaran mara ke pusingan kalah mati Piala Asia di Doha, Qatar bulan depan.

Bekas pemain negara, Razman Roslan berkata, kejohanan tersebut merupakan pentas terbaik buat para pemain membuktikan mereka mampu memacu nama negara di peringkat tertinggi.

“Setiap pemain bola sepak impikan aksi di pentas Asia. Inilah masa untuk anda buktikan sesuatu demi lencana di dada dan peminat bola sepak negara.

“Seluruh mata di Asia memberi tumpuan ke Qatar. Berikan segala-galanya (bermati-matian). Keluarkan semua yang anda ada (kemahiran) untuk julung nama Malaysia di pentas tertinggi ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menaruh harapan agar skuad Harimau Malaya yang dibimbing Kim Pan-gon dapat mara ke pusingan 16 terbaik dalam aksi Piala Asia yang akan bermula 12 Januari ini.

Skuad negara yang dijadual berlepas ke Doha pada 1 Januari akan memulakan saingan Kumpulan E bertemu Jordan pada 15 Januari sebelum menentang Bahrain lima hari kemudian dan membuat perhitungan dengan Korea Selatan pada 25 Januari.

Razman berkata, congakkan atas kertas tidak mustahil buat Malaysia melepasi peringkat kumpulan, biarpun ia sesuatu yang sukar kerana sedar lawan skuad negara bertaraf tinggi.

“Malaysia wajib menang ke atas Jordan. Seri dengan Bahrain, namun andai menang, ia adalah bonus. Pada masa sama, kita mengharapkan Jordan dan Bahrain seri.

Artikel Berkaitan:

“Menentang Korea Selatan semua peminat tahu, memang sukar. Standard mereka tinggi dan beraksi pada Piala Dunia,” katanya.

Justeru beliau mengharapkan para pemain mengekalkan corak permainan yang diterapkan Pan-gon memberi tekanan tinggi kepada pasukan lawan.

Beliau berkata, skuad negara memiliki gabungan pemain berkualiti sama ada tempatan, warisan atau naturalisasi dan kemampuan mereka sudah terbukti selepas Pan-gon membimbing pasukan lebih setahun lalu.

“Kita bermain mengikut acuan Malaysia. High pressing yang diterapkan jurulatih banyak membantu kita meraih kemenangan dalam beberapa aksi sebelum ini,” katanya.

Sebagai rekod, bukan sahaja juara dan naib juara kumpulan akan layak ke pusingan 16 terbaik, tetapi empat pasukan ketiga terbaik turut berpeluang mengesahkan slot ke pusingan seterusnya.

Pada edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), empat mata memadai untuk melayakkan diri sebagai empat pasukan ketiga terbaik seperti yang dilakukan Bahrain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!