Amukan alam di seluruh dunia
PARIS - Bencana alam dan cuaca buruk yang dikaitkan dengan fenomena El Nino mendominasi tajuk berita sepanjang 2023.
Kejadian ekstrem seperti gegaran seismik, banjir, kebakaran hutan besar, kemarau berpanjangan, insiden tanah runtuh, siklon, gelombang haba terburuk dan ribut ganas itu turut menyebabkan puluhan ribu orang hilang tempat tinggal di seluruh dunia.
Antara kejadian mengakibatkan kemusnahan besar dan meragut ribuan nyawa adalah siri gempa yang menggegar selatan Turkiye berhampiran sempadan Syria pada Februari dan gegaran kuat di barat Maghribi pada September lalu.
Selain itu, Taufan Doksuri turut menyebabkan hujan luar biasa dan banjir di kira-kira 16 bandar serta wilayah di timur laut China.
Ia disusuli dengan Ribut Daniel yang membadai timur Libya dan meninggalkan impak dahsyat.
Selama tiga bulan berturut-turut bermula September, kejadian ribut turut mengakibatkan banjir di Mexico, Hong Kong dan Eropah Barat.
Tanduk Afrika yang menghadapi kemarau panjang juga tidak terkecuali menerima impak El Nino yang menyaksikan rantau tersebut mengalami hujan lebat dan dilanda banjir tidak pernah berlaku sebelum ini.
Pada bulan lalu, banjir luar biasa telah menyebabkan puluhan terkorban, selain penduduk hilang tempat tinggal pada skala yang besar dapat dilihat di Kenya, Somalia dan Ethiopia.
Kemarau ekstrem juga menjadi punca utama paras air sungai menurun secara mendadak dan sumber takungan utama lain termasuk hutan hujan Amazon semakin mengering.
Sepanjang tahun ini, Amerika Syarikat (AS) telah dilanda 23 bencana alam yang mengorbankan 253 orang dan menyebabkan kerugian berjumlah lebih AS$57 bilion (RM262.6 bilion), jumlah tertinggi pernah direkodkan.
China juga terpaksa menanggung kos akibat kemusnahan bencana alam berjumlah 308.29 bilion yuan (RM201.1 bilion) untuk tempoh sembilan bulan pertama 2023.
Saintis mendakwa keadaan cuaca luar biasa seperti itu yang berpunca daripada aktiviti tidak terkawal manusia akan menjadi lebih teruk apabila bumi semakin panas disebabkan oleh fenomena pemanasan global dan perubahan iklim.
Pada Mei lalu, Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) mengeluarkan amaran bahawa suhu global berkemungkinan meningkat melepasi rekod untuk tempoh lima tahun akan datang.
Ia disebabkan oleh peningkatan gas rumah hijau yang akan mencetuskan keadaan cuaca lebih ‘ganas’. - Agensi/AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!