Aidi bersara selepas 36 tahun bersama PDRM

Aidi (kiri) bersama isteri, Raja Asaudat (dua, kiri) melambaikan tangan ketika menaiki kenderaan khas pada Majlis Paluan Berundur Pengarah JPJKK Bukit Aman di Pulapol Kuala Lumpur. - Foto Bernama
Aidi (kiri) bersama isteri, Raja Asaudat (dua, kiri) melambaikan tangan ketika menaiki kenderaan khas pada Majlis Paluan Berundur Pengarah JPJKK Bukit Aman di Pulapol Kuala Lumpur. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Aidi Ismail semalam mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas menabur bakti selama 36 tahun, susulan persaraan wajibnya Januari ini.

Majlis Paluan Berundur di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada Jumaat yang dihadiri pegawai kanan dan isteri masing-masing adalah simbolik penghormatan terakhir buat Aidi yang hadir ditemani isterinya, Datin Seri Raja Asaudat Raja Muda.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Majlis yang bermula pada 5 petang itu, diserikan dengan persembahan Pancaragam Pusat PDRM dengan Aidi diberi penghormatan memimpin persembahan, diikuti deklamasi sajak bertajuk 'Perwiraku' oleh Ketua JPJKK Melaka, Asisten Komisioner Foo Chek Seng.

Aidi (kiri) mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan PDRM selepas menabur bakti selama 36 tahun, susulan persaraan wajibnya Januari ini. - Foto Bernama
Aidi (kiri) mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan PDRM selepas menabur bakti selama 36 tahun, susulan persaraan wajibnya Januari ini. - Foto Bernama

Menyingkap sejarah perkhidmatan Aidi dalam pasukan polis, anak jati kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), memulakan kariernya selepas menamatkan latihan asas kepolisan di Pulapol Kuala Lumpur pada 1989 sebagai Kadet Asisten Superintenden.

Beliau kemudiannya memegang pelbagai jawatan di Jabatan Logistik di Bukit Aman dan Kontinjen sebelum mengambil keputusan menyambung pengajian dalam Sarjana Sains (Operasi dan Pengurusan Rantaian Bekalan) di Liverpool University, United Kingdom pada 2003.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu turut diberikan amanah menggalas beberapa jawatan penting di jabatan sama termasuk sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Kuala Lumpur dari 2013 hingga 2015 dengan pangkat Senior Asisten Komisioner.

Artikel Berkaitan:

Ayob Khan (depan dua, kanan) turut hadir pada Majlis Paluan Berundur Pengarah JPJKK Bukit Aman di Pulapol Kuala Lumpur. - Foto Bernama
Ayob Khan (depan dua, kanan) turut hadir pada Majlis Paluan Berundur Pengarah JPJKK Bukit Aman di Pulapol Kuala Lumpur. - Foto Bernama

Aidi kemudiannya kembali ke Jabatan Logistik dan Teknologi sebagai Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) pada 2015 dengan pangkat Deputi Komisioner sebelum mengetuai kontinjen Terengganu pada 2017 hingga 2020, seterusnya dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak bermula Februari 2020 hingga Februari 2022.

Pada 23 Februari 2023, Aidi dilantik sebagai Pengarah JPJKK bagi mengisi kekosongan Datuk Ramli Din yang bersara wajib. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!