'Maaf pak, maaf'
KUALA LUMPUR - Berpura-pura tidak mendengar ketukan pintu selain segera menutup lampu bagi menyulitkan operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Apartmen Abdullah Hukum di sini pada Sabtu.
Tindakan penghuni rumah warga asing itu menyebabkan anggota operasi JIM Kuala Lumpur terpaksa memotong pengunci kediaman terbabit.
Semasa ditahan, warga asing itu hanya terdiam dan meminta maaf selepas ditanya punca tindakannya tidak membuka pintu.
Sinar Harian yang turut menyertai operasi tersebut juga mendapati terdapat warga asing cuba menyorok di ruangan sempit di dalam kediaman masing-masing, selain adegan melarikan diri dengan melompat pagar serta terjun dari tingkat dua.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, operasi dengan kekuatan 85 pegawai dan anggota itu dijalankan bermula jam 1.15 pagi.
Katanya, sebanyak 125 unit kediaman diperiksa di apartmen 14 tingkat itu hasil risikan selama satu minggu.
"Seramai 1,000 orang telah diperiksa, manakala 567 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia satu tahun empat bulan hingga 54 tahun termasuk 38 wanita ditahan.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada 72 warga Indonesia, Bangladesh (252), Nepal (163), Myanmar (75), Filipina (4) dan seorang India," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan pada Sabtu.
Beliau berkata, pihaknya percaya kediaman terbabit disewa oleh PATI dengan bayaran bulanan kira-kira RM1,000 hingga menempatkan sehingga lapan penghuni.
Katanya, dipercayai kebanyakan tangkapan ini bekerja di kawasan sekitar.
"Kita sedang siasat lebih lanjut untuk kesan pemilik rumah bagi tindakan lanjut," ujarnya.
Tambahnya, kesemua tangkapan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan di bawa Akta Imigresen 1959/63.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!