Gadai nyawa redah arus hantar bantuan makanan
JERANTUT- Keberanian anggota Pasukan Nature Lifeguard Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Tahan terbukti apabila mereka sanggup mengadai nyawa meredah arus demi menghantar bantuan makanan kepada penduduk perkampungan Orang Asli yang terperangkap ekoran kenaikan paras air Sungai Tembeling baru-baru ini.
Dalam misi bantuan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Jerantut itu, 'wira tidak didendang' ini berjaya menghantar 51 bakul makanan untuk diagihkan diserahkan kepada penduduk di empat kampung iaitu Kampung Teresek, Kampung Tabung, Kampung Dedari dan Kampung Yong di sini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jerantut, Kapten Pertahanan Awam (PA) Muszaidi Musa berkata, bantuan itu dihantar beberapa anggota terlibat menggunakan bot panjang.
Menurutnya, walaupun berdepan risiko, anggota yang terdiri dari penduduk Orang Asli suku Bateq itu telah menjalani latihan dan terlatih dalam pengendalian bot di kawasan arus deras.
"Anggota Pasukan Nature Lifeguard APM Kuala Tahan yang berdaftar seramai 44 orang setakat ini termasuk 11 dari Orang Asli suku Bateq.
"Bagaimanapun anggota yang aktif 16 orang termasuk enam anggota dari suku Bateq berusia 20 hingga 29 tahun yang sebahagiannya terlibat dalam operasi penghantaran bantuan baru-baru ini," katanya.
Muszaidi berkata, peranan anggota Pasukan Nature Lifeguard APM bagi kaum Orang Asli Bateq khususnya adalah membantu APM untuk tugasan semasa, sebelum dan selepas Monsun Timur Laut.
"Ia selaras dengan fungsi APM ( Akta 221) antaranya melaksanakan tugas kesiapsiagaan, menyelamat, perlindungan dan khidmat kemanusiaan
"Selain itu ia juga bertindak sebagai pasukan tindakan awal khususnya kepada komuniti di Kuala Tahan dan kawasan sekitarnya sekiranya berlaku sebarang kejadian kecemasan dan bencana," jelasnya.
Tambah beliau, pada masa yang sama, anggota pasukan itu juga terlibat dalam tugasan pemantauan sepanjang MTL ini.
"Anggota terlibat telah menjalani latihan dan didedahkan dengan ilmu-ilmu Pertahanan Awam antaranya pertolongan cemas, menyelamat di air dan kawasan arus deras, latihan renang, pengendalian bot, menyelamat tempat tinggi, menyelamat teknikal dan pengurusan bencana," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!