Polis siasat anggota tentera kes video tular pukul, ugut bunuh isteri
MELAKA - Polis telah memanggil seorang anggota tentera yang didakwa terlibat dalam video tular pergaduhan suami isteri di sebuah flat berdekatan Sungai Udang, di sini dalam kejadian pada 15 Disember lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah berkata, laporan polis berhubung kejadian itu telah diterima daripada seorang wanita berusia 38 tahun.
"Dalam laporan itu, wanita berkenaan mendakwa telah dipukul oleh suaminya seorang anggota tentera berusia 25 tahun bertugas di sebuah kem di Sungai Udang, Melaka.
"Lelaki berkenaan telah dipanggil untuk rakaman keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum itu, sebuah video berdurasi 32 saat menunjukkan seorang wanita menjadi mangsa pukul suaminya dalam sebuah video tular di aplikasi X.
Ia dikongsikan oleh pengguna @MALAYSIAVIRALL yang mana video berkenaan memaparkan pergaduhan pasangan tersebut yang berlaku di hadapan jiran.
Ujarnya, kes tersebut seterusnya disiasat di bawah Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan rakaman itu, kedengaran suara seorang wanita merayu-rayu supaya suaminya bertenang dan menyelesaikan isu antara mereka secara baik.
"Abang janganlah abang... tak nak... sakit, tak nak...," katanya.
Bagaimanapun, suaminya yang memakai uniform lengkap tetap berkeras dan menjerit mengarahkan isterinya masuk ke rumah dengan suara yang tinggi.
Lebih mengejutkan, lelaki itu didakwa turut mengugut untuk membunuh isterinya dan kelihatan memegang sesuatu dan mengacukan kepada mangsa.
Kelihatan juga beberapa jiran cuba menenangkan keadaan, namun tidak dihiraukan oleh lelaki itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!