Arsenal enggan gigit jari lagi
ARSENAL mungkin akan berputih mata sekali lagi untuk mendakap trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) andai para pemain melepaskan peluang meledak jaringan.
Skuad bimbingan Mikel Arteta membazirkan peluang menghasilkan gol ketika tewas 0-2 kepada West Ham, pada Jumaat.
The Gunners melakukan 30 percubaan dan 77 sentuhan di kawasan penalti West Ham, namun gagal memecah kebuntuan untuk menembusi gawang lawan.
Jurulatih dari Sepanyol itu mengakui pemain perlu meningkatkan ketajaman di depan gawang selain lebih ampuh di benteng pertahanan untuk memburu gelaran.
"Jika kami tidak meningkat permainan dalam kotak penalti, ia mungkin tidak akan berlaku (kemenangan)," kata Arteta.
Mengulas ketumpulan jentera serangan, beliau memberitahu, skuad perlu fokus kepada peningkatan prestasi kerana cabaran liga kian sukar.
"Ia bukan panik, ia adalah tentang cuba melakukan lebih baik (membuat jaringan). Jika pasukan bermain seperti ini, kami mampu menang banyak perlawanan.
"Kami perlu melakukan apa yang kami boleh kawal. Ia bukan masa untuk melihat pasukan lain. Anda lihat betapa sukarnya (setiap perlawanan) dan ia akan terus menjadi seperti itu kerana tahap liga adalah luar biasa," ujar Arteta.
Jadual padat bulan Disember menyaksikan Arsenal bermain tujuh perlawanan dan masih mempunyai satu aksi menjelang malam Tahun Baharu menentang Fulham di laman lawan.
Selama 248 hari sejak awal saingan Arsenal memimpin carta EPL, namun mula goyah menuju ke akhir musim sebelum dipintas Manchester City untuk bergelar juara pada edisi 2022/2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!