Momen indah 11 tahun Aidil bersama JDT

Aidil bakal menyertai barisan kejurulatihan JDT pada musim depan. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
Aidil bakal menyertai barisan kejurulatihan JDT pada musim depan. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
A
A
A

BINTANG sensasi, Aidil Zafuan Abdul Radzak yang mengumumkan menggantung but pada Jumaat mengakui tempoh 11 tahun bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai momen yang indah dalam kariernya sebagai pemain bola sepak.

Malah pemain berusia 36 tahun itu turut menyifatkan pencapaian skuad Harimau Selatan merangkul 26 trofi sebagai sesuatu yang mengagumkan.

“Saya menanti langkah seterusnya dalam karier saya bersama JDT.

“Ia merupakan 11 tahun yang indah bersama JDT sebagai pemain, dan memenangi 26 trofi adalah suatu perasaan yang menakjubkan," catat beliau menerusi hantaran di Instagram pada malam Jumaat.

Tuah juga buat pemain pertahanan itu apabila ditawarkan untuk menyertai barisan kejurulatihan JDT yang diketuai Hector Bidoglio bagi menggantikan Esteban Solari yang tidak lagi bersama skuad Harimau Selatan pada musim depan.

"Sudah tiba masanya untuk ‘menggantung but’ dan saya bersyukur kerana DYAM Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) menawarkan saya untuk terus berada di sini dalam kapasiti kejurulatihan," katanya.

JDT pada Khamis mengumumkan tidak lagi menggunakan khidmat Solari bagi mengharungi Liga-M musim 2024/2025 yang dijadual bermula awal Mei.

Turut tidak bersama JDT ialah barisan kejurulatihan termasuk Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr Leandro Pinero.

Artikel Berkaitan:

Aidil Zafuan menjelaskan JDT tidak merancang untuk mengendurkan momentum kejuaraan biarpun Tunku Ismail mahu kelab berbelanja lebih berhemah untuk musim depan.

"Saya faham kelab sedang melalui perubahan dengan ramai pemain keluar, dan saya telah melihat dari masa saya di sini bahawa tidak kira apa jua perubahan, kami tetap memenangi trofi.

"Semua ini adalah kerana kestabilan dan visi yang dibawa oleh DYAM TMJ kepada JDT.

"Mari kita nantikan musim hadapan dengan harapan yang diperbaharui dan berusaha untuk meneruskan tradisi kemenangan kita," katanya.

Aidil telah merekodkan lebih 200 penampilan dalam kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

Selain JDT, Aidil juga pernah beraksi untuk ATM dan Negeri Sembilan FC.

Beliau juga telah merekodkan 96 penampilan bersama Harimau Malaya sejak membuat kemunculan pertama pada tahun 2007.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!